Biar pun nilai elaun diberikan atas kerja mendidik anak-anak murid di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tidak seberapa, namun itu bukan penghalang untuk terus menyampaikan ilmu.
Sumbangannya selama lebih 20 tahun berkhidmat dengan Pasti, Suraya Mat Ghani, 44, yang kini mengajar di Pasti Al-Haq Kuala Pontian tidak sia-sia kerana Pasti Kawasan Rompin dan PAS Kawasan Rompin merancang menghantarnya menunaikan umrah sebagai penghargaan.
Setiausaha PAS Dun Tioman, Abdul Aziz Ab Ghani, berkata, sepanjang tempoh berkhidmat Suraya telah memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan Pasti diterima masyarakat setempat selain jumlah murid terus meningkat.
Menurutnya, elaun yang agak kecil berbanding pekerjaan lain terutama yang sama bidang dengannya tidak pernah menyebabkan dia putus asa sebaliknya terus istiqamah.
“Empat tahun lalu kita pernah hantar seorang guru menunaikan umrah atas jasanya berkhidmat lebih 20 tahun dan kali ini kita sedang mengusahakan untuk menghantar seorang lagi. Ini benar-benar atas jasa kerana guru itu istiqamah mengajar dengan Pasti, mereka tetap setia biar pun ganjarannya kecil sedangkan tugasnya sama dengan guru-guru lain di luar sana terutama dalam sektor kerajaan,” katanya.
Justeru Abdul Aziz berkata, pihaknya telah melancarkan tabung bagi mengumpul dana agar guru-guru terpilih ini dapat menunaikan umrah mengikut waktu ditentukannya dan bakal menjadikan ia sebagai penghargaan kepada guru lain pada masa akan datang yang istiqamah mencapai tempoh sama.
“Kita harap warga Pasti seperti ibu bapa murid-murid dan jemaah dapat menyumbang melalui PASTI berhampiran atau menyalurkannya melalui akaun Agro Bank bernombor 2-00-6331-0000-6544-1 atas nama Pasti Kawasan Rompin,” katanya.
Sementara itu, Suraya yang ditemui mengakui terharu dengan penghargaan itu dan menegaskan komitmen tinggi yang diberikan selama ini adalah semata-mata minatnya untuk mengajar kanak-kanak.
Beliau yang berasal dari Kampung Janglau, di sini, mula mengajar sejak 1996 dan telah berkhidmat di beberapa Pasti lain sebelum lima tahun lalu ditugaskan di Pasti Al-Haq Kuala Pontian ketika ia mula dibuka.
“Walaupun elaun kecil, saya tak pernah pun rasa nak berhenti. Cabaran memang besar terutama berhadapan dengan ibu bapa, tapi itu semua saya tak kisah menyebabkan saya terus mengajar hingga kini,” katanya.
{jathumbnail off}