Home Berita PAS Terengganu

Harmonikan masyarakat majmuk dengan pendekatan islam yang adil

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, menegaskan bahawa PAS perlu terus memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk melalui pendekatan Islam yang adil, beradab dan inklusif, tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti itu.

Menurut Dr. Balachandran Gopal Krishnan, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama mesti dipimpin dengan penuh hikmah, saling menghormati nilai dan sensitiviti antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, masyarakat bukan Islam di negeri ini menghormati waktu solat, azan, puasa dan adab orang Islam.

“Maka sewajarnya kita sebagai ahli dan pimpinan PAS menunjukkan keprihatinan terhadap sensitiviti agama dan budaya mereka. Ini bukan soal menggadaikan prinsip, tetapi mengurus perbezaan dengan adab dan hikmah agar keharmonian terus terpelihara,” katanya.

Mengulas mengenai perbahasan berkait Pengukuhan Organisasi Parti dan Kepimpinan di Ijtimak Kepimpinan PAS Sabtu lalu, beliau menekankan bahawa pendekatan dakwah secara dakwah melalui perbuatan atau tindakan nyata (bil hal) iaitu menyampaikan mesej Islam melalui akhlak, keadilan dan tindakan berintegriti mesti menjadi asas interaksi PAS dengan semua pihak, khususnya masyarakat bukan Islam.

Dr. Balachandran turut mengingatkan bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti yang membawa mesej agama, tetapi juga bertanggungjawab menjamin keadilan, kesejahteraan dan perpaduan nasional.

“Islam adalah ‘rahmatan lil ‘alamin’, rahmat untuk seluruh alam. Kita bukan hanya mahu menang pilihan raya, tetapi mahu menang kepercayaan rakyat dan reda Allah SWT,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar organisasi dan kepimpinan PAS diperkasa melalui modul latihan kepimpinan yang tersusun, merangkumi pemahaman politik Islam, pengurusan organisasi strategik, komunikasi berkesan, dan kemahiran mengurus kepelbagaian budaya.

“Pengukuhan organisasi dan kepimpinan mesti berlandaskan sikap terbuka menerima teguran, menyesuaikan pendekatan dengan tuntutan semasa tanpa menjejaskan prinsip Islam serta melaksanakan keadilan dalam pentadbiran tanpa diskriminasi,” jelasnya lagi.

Dr. Balachandran menegaskan bahawa kemenangan politik bukanlah matlamat akhir, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, telus dan berintegriti, selaras dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah.