Home Berita PAS Terengganu

Harimau Malaya kembali lebih garang malam ini

7
SHARE

KUALA NERUS – Harimau Malaya bersedia kembali dengan aksi yang lebih garang pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon menuntut anak buahnya mempamerkan aksi yang lebih cemerlang menentang Papua New Guinea.

Beliau menasihatkan supaya para pemain konsisten dalam mendominasi permainan, mengekalkan rentak selain tidak melakukan kesilapan mudah.

Ketika ditanya berkenaan sejarah yang dimiliki oleh pasukan Papua yang berjaya mengikat pasukan singapura, Kim Pan Gon memuji prestasi baik yang ditunjukkan oleh pasukan itu.

Namun, beliau yakin anak buahnya itu akan cuba terus melakar kemenangan di laman sendiri dan menjadikannya sebagai kubu kuat yang menjadi tumpuan utama.

“Kita lihat mereka bermain menentang singapura lebih baik dari apa yang kita jangkakan.

“Fokus utama saya adalah untuk meneruskan rentak kemenangan, jadi tugas pemain perlu melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

“Di samping, mengikut taktikal dan perancangan yang diatur, kita pernah dikalahkan skuad itu, tapi kita juga pernah menang, namun kali ini pemain lebih bersedia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Pra-Perlawanan antara Malaysia vs Papua New Guinea di Ar Ridayah Residence, Gong Badak di sini semalam.

Sementara itu, Kapten Papua New Guinea, Raymond Gunemba memuji skuad Harimau Malaya apabila menunjukkan peningkatan berbanding pasukan yang pernah dikalahkan oleh mereka pada 2016 itu.

“Saya rasa malaysia telah banyak meningkat dari tahun sebelumnya selepas menonton perlawanan menentang solomon.

“Ia akan menjadi satu cabaran yang sukar buat kami. Kami perlu melakukan persiapan yang rapi untuk perlawanan esok hari,” ujarnya