KUALA TERENGGANU – Gandingan pemain sayap Mohd Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Hanapi menjadi tumpuan dalam kemenangan besar pasukan Malaysia ke atas Papua New Guinea di Gong Badak, malam tadi.
Pada aksi terakhir perlawanan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Kim Pan Gon mencatat kemenangan 10-0 setelah menjaringkan sembilan gol di babak kedua perlawanan.
Harimau Malaya mempamerkan aksi ‘garang’ apabila mengancam lawan dengan tampanan kapten pasukan, Shahrul Saad yang ditepis penjaga gol, Ronald Warisan seawal minit ketiga.
Dalam tempoh 20 minit pertama, Malaysia melakukan lebih empat percubaan ke gawang lawan, namun Papua New Guinea yang menerapkan taktikal bertahan sukar ditembusi.
Memasuki minit terakhir separuh masa pertama, Muhammad Akhyar Abdul Rashid berjaya melakukan gerakan solo ke kawasan penalti lawan, tetapi dijatuhkan Solomon Rani sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Sepakan itu disempurnakan Muhammad Safawi Rasid untuk gol pertama perlawanan untuk skuad kebangsaan mendahului 1-0 sebelum babak pertama ditamatkan.
Bersambung separuh masa kedua, Kim Pan Gon melakukan pertukaran dengan memasukkan Faisal, Arif dan Daniel Ting untuk mengukuhkan cengkaman ke atas pelawat.
Kemasukan Faisal-Arif memberikan dimensi baru kepada serangan Harimau Malaya apabila kedua-dua pemain itu terlibat dalam hampir kesemua gol yang dijaringkan pada separuh masa kedua.
Pada minit ke-52, lorongan Azam Azmi Murad disudahkan Paulo Josue untuk gol kedua tuan rumah.
Empat minit kemudian, Arif yang melepasi perangkap offside, menyempurnakan hantaran jauh bintang baru, Nooa Laine untuk menjarakkan kedudukan kepada 3-0.
Pada minit ke-58, benteng Papua New Guinea sekali lagi ditembusi, kali ini menerusi Faisal yang tenang menumpaskan pertahanan lawan untuk gol keempat setelah menerima hantaran lambung Arif.
Seminit kemudian, pemain kelahiran Pulau Pinang itu pula melakukan bantuan gol dengan hantaran lintang dari sebelah kirin gawang yang mudah disudahkan Arif untuk gol kelima perlawanan.
Harimau Malaya terus menyerang untuk menggandakan jaringan.
Pada minit ke-63 dan ke-69, Paulo Jouse berjaya menjaringkan dua gol (keenam dan ketujuh) untuk merekodkan hatriknya buat skuad kebangsaan sebelum digantikan dengan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi.
Ronald yang ampuh mengawal gawang Papua New Guinea pada separuh masa pertama bolos lima gol hanya dalam tempoh 10 minit, mengalami mimpi ngeri apabila Malaysia terus-menerus melakukan serangan.
Gol kelapan Malaysia dijaringkan Daniel Ting pada minit ke-75 apabila hantaran lintang Arif tidak berjaya dikeluarkan Ronald.
Memasuki minit ke-86, Arif Aiman berjaya mencari hatrik peribadinya menerusi serangan balas yang digerakkan Dion Cool dan Faisal.
Dua minit kemudian, gerakan Faisal dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi memecahkan blok pertahanan di dalam kotak penalti lawan sebelum bola dilorongkan kepada Arif yang meledak gol keempatnya dalam perlawanan itu.
Kemenangan besar itu menyaksikan pasukan Malaysia bakal mendaki dua anak tangga dari kedudukan 138 ke kedudukan 136 dunia selepas turut menang ke atas Solomon Islands, minggu lalu.
Malaysia kini berupaya merapati Rwanda di kedudukan 135 dunia serta memintas kedudukan Filipina (136) dan Turkimenistan (137).