Oleh : Ustaz Mohd Faizol Bin Endut
Assalamualaikum Wrt. Wbt.
Melihat kepada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan peningkatkan kes penularan wabak Pandemik COVID-19 pada 05 Oktober 2020, iaitu sebanyak 432 kes di seluruh Malaysia dan sebanyak 34 kes di negeri Selangor semakin meningkat setiap hari ternyata angka ini sangat membimbangkan kita semua.
Justeru, Jabatan PASTI Negeri Selangor ingin mengingatkan semua warga PASTI bermula daripada pengurusan kawasan dan cawangan, guru-guru serta ibu bapa/ penjaga murid untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak KKM.
Semua pihak disarankan untuk terus mengamalkan New Normal atau Kebiasaan Baharu dengan selalu memakai penutup hidung, menggunakan hand sanitizer dan kerap mencuci tangan dengan sabun. Juga terus berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar berurusan di luar.
Disamping kita terus meningkatkan kebergantungan kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan doa agar wabak ini segera diangkat dan kita semua dijauhi daripadanya.
Jabatan PASTI Negeri Selangor juga menetapkan pada 08 Oktober 2020 bersamaan 20 Safar 1442H sebagai “Hari PASTI Bermunajat”. Disarankan untuk semua warga PASTI Negeri Selangor untuk mengadakan Bacaan Yasin dan Solat Hajat khusus di kediaman masing-masing.
Saya optimis bahawa kita akan dapat menghadapi saat-saat sukar ini dengan penuh kesabaran setelah kita berjaya mengharungi tempoh enam bulan lalu dengan sebaiknya. Semoga Allah SWT memberikan kita semua kekuatan untuk mengharungi ujian berat ini.
Yang benar,
Ustaz Mohd Faizol Bin Endut
Pengarah
Jabatan PASTI Negeri Selangor
06 Oktober 2020 / 18 Safar 1442H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor
#StayAtHome
#KitaJagaKita
#KitaBelumMenang