Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Hari Malaysia 2021 : Bersama Memperkukuh Perpaduan

26
SHARE

Alhamdulillah, tahun ini kita diberi kesempatan untuk menyambut Hari Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1963.

Malaysia dibentuk dengan persetujuan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan hasrat yang murni antaranya mempercepat kemerdekaan Singapura dan mencapai kemajuan dengan lebih baik melalui gabungan berkenaan.

Agenda besar ini yang ditambah dengan pelbagai bantahan dari Filipina dan Indonesia pada masa itu semestinya tidak dapat ditempuhi tanpa perpaduan dan sokongan seluruh warga komponen gabungan ini.

Pada hari ini, kita dapat melihat kerajaan masih mengutamakan nilai perpaduan terutama dalam fasa pemulihan negara selepas dilanda wabak COVID-19.

Terkini, ia dapat dilihat melalui keterbukaan kerajaan untuk mengadakan memorandum persefahaman bersama pembangkang, semuanya agar kestabilan dan keamanan negara dapat terpelihara.

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menyeru rakyat Malaysia agar terus bersama kerajaan dalam usaha mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan yang sedia kita kecapi sejak dahulu.

BPPWP juga komited bersama usaha-usaha yang dipelopori PAS sejak dahulu sehingga kini dalam memupuk dan mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia. Tanpa “perpaduan” Malaysia tidak wujud, tanpa “perpaduan” Keluarga Malaysia juga tidak akan wujud.

Akhirnya, BPPWP serta seluruh saff kepimpinan mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh Keluarga Malaysia khusus di Wilayah Persekutuan. Semoga Malaysia terus aman sejahtera.

Siiru ‘ala barakatillah.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

‘Wilayah Sejahtera’

USTAZ AZHAR YAHYA

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)

16 September 2021 l 9 Safar 1443H