Minda Presiden PAS
[Bil: 56 / 2025]
HARI KEBANGSAAN BUKAN HARI KEMERDEKAAN
Tanah air kita telah dijajah selama beberapa abad, bermula dengan Melaka yang dijajah Portugis, diikuti oleh Belanda dan Inggeris, sehingga mematikan kerajaan Islam. Para pendakwah datang bagi membebaskan bangsa kita daripada memperhambakan diri kepada sesama manusia yang menerapkan undang-undang dan peraturan ciptaan pihak berkuasa yang memperhambakan rakyat mengikut hawa nafsu mereka.
Islam hadir dengan konsep memperhambakan diri kepada Allah sahaja. Manusia hanya diberikan kebebasan mengikut kemampuan akal mereka yang dapat mengawal nafsu, di samping mengurus urusan dunia yang berkebajikan demi membawa kebaikan dunia dan berwawasan akhirat yang kekal abadi.
Islam ialah kemerdekaan manusia yang bebas mengikut sempadan sifat fitrah kejadiannya oleh Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, dan Maha Adil kepada seluruh makhluk-Nya. Apabila manusia keluar daripada sempadan Allah, mereka pasti terbabas dan merosakkan diri sendiri.
Apabila memperhambakan diri kepada sesama makhluk yang bersifat lemah, akibatnya akan merosakkan diri kerana keluar daripada sempadan naluri (fitrah) yang ditetapkan oleh Penciptanya disebabkan terbabas, bukannya bebas. Hal ini laksana binatang yang dikuasai nafsu dan diheret ke mana-mana sahaja serta boleh dijual beli.
Islam yang dibawa ke Alam Melayu telah berjaya membebaskan rakyat daripada kesesatan memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah, termasuk kepada sesama manusia yang memerintah dan mentadbir urusan manusia yang diabdikan seperti hamba kepada Tuhan.
Rasulullah SAW membebaskan Makkah daripada pemerintahan jahiliah oleh bangsanya sendiri bagi diambil alih oleh Islam yang menyelamatkan mereka dalam kemerdekaan yang sebenar mengikut sempadan Allah.
Apabila Islam diabaikan oleh penganutnya sendiri di rantau ini, keadaan ini memberikan peluang kepada penjajah Barat untuk merampas kuasa pemerintahan daripada raja-raja yang mendaulatkan Islam bawah perlembagaan Islam yang berdaulat bersama para ulama’ yang mewarisi ilmu para rasul, utusan yang dipilih oleh Allah.
Islam yang berdaulat selama beberapa abad yang cemerlang dengan Tamadun Islam yang berilmu dunia dan akhirat berpandukan hidayah Allah, digantikan oleh penjajah dengan sistem pemerintahan yang memperhambakan rakyat dan memenjarakan Islam. Mereka menetapkan Islam menjadi agama diri dan keluarga masing-masing dalam urusan ibadat dan kekeluargaan sahaja bawah pentadbiran yang dinamakan hal ehwal agama sebagai gula-gula bagi menipu umat Islam. Tugas dan tujuannya ialah mengawal pengajian agama Islam supaya kefahaman Islam yang sebenar dihalang.
Bangsa ini bertukar menjadi mundur sehingga diperhambakan oleh pemerintahan penjajah yang memisahkan urusan kehidupan manusia daripada agama petunjuk Allah. Inilah ajaran yang memundurkan Eropah, tanah air bangsa penjajah itu.
Bahkan, mereka mendapat kemajuan pun disebabkan oleh Tamadun Islam dengan mempelajari ilmu dunia daripada umat Islam, namun dengan konsep agama Kristian yang berpisah daripada urusan dunia. Mereka mengambil ilmu dunia sahaja tanpa menganut Islam yang tidak berpisah dengan ilmu dunia, menjadikan mereka bangsa yang zalim dengan kemajuan sains yang disalahgunakan sehingga menjajah dan memperhambakan sesama manusia.
Umat Islam dan tanah airnya menjadi mangsa kerana kecuaian meninggalkan petunjuk Islam yang sempurna, setelah Islam berjaya meluaskan petunjuk kepada seluruh bangsa yang menjadikan Islam sebagai penyelamat manusia, bukan penjajah yang memperhambakan mereka.
Apabila tanah air Islam dijajah oleh manusia makhluk perosak dunia yang dapat disaksikan pada hari ini, betapa manusia mengalami kerosakan hidup sama ada pada diri mahupun alam sekitarnya yang juga musnah akibat Tamadun Barat yang merosakkan.
Apabila umat Islam dijajah oleh makhluk perosak yang menjajah dan memperhambakan bangsa yang dijajah, termasuk Nusantara Alam Melayu yang permusuhan terhadap keislamannya lebih diperlakukan dengan melampau, umat Islam tidak menyerah kalah dan mereka bangkit menentang penjajah, walaupun dalam keadaan lemah, rakyat diperhambakan, dan hasil bumi dirompak.
Maka, para raja dan ulama’ bergerak bertali arus menentang penjajahan sejak zaman-berzaman, bermula dengan kejatuhan Kesultanan Melaka yang dijajah Portugis pada tahun 1511 sehingga kejatuhan kuasa besar Islam yang memayungi umat Islam, iaitu Khilafah ‘Uthmaniyyah pada awal abad ke-20.
Penjajah bukan sahaja menakluk bumi dan memperhambakan rakyatnya, malah mereka juga menjajah melalui pemikiran dan kefahaman. Negara diperintah oleh sistem sekular secara halus yang meminggirkan kuasa Islam yang berdaulat memerintah negara.
Sehinggakan, penjajah berjaya menjahilkan umat Islam terhadap agama Islam yang sebenar, di samping mencipta para pemimpin dalam kalangan penganut Islam untuk menjadi jentera penjajah bagi melaksanakan sistem sekular yang dimasukkan dalam Islam yang asing daripada Islam dan masyarakatnya, demi merosakkan ajaran Islam yang sempurna. Apa-apa yang dilakukan ini sama sepertimana yang dilakukan kepada agama Kristian, yang memisahkan urusan dunia daripada petunjuk agama dengan aqidah perkara keduniaan dan kehidupan manusia ialah bukan urusan Allah, seterusnya menjadikan mereka sesat.
Sistem sekular yang bertopengkan Islam dipakai setelah penjajah gagal memurtadkan bangsa Melayu supaya meninggalkan agama Islam sepertimana yang berjaya dilakukan di Sepanyol, Filipina, dan beberapa tanah jajahan. Akan tetapi, mereka gagal memurtadkan bangsa Melayu kerana peranan ulama’ mempertahankan ilmu asas agama Islam, walaupun mereka jahil akan Islam yang sempurna.
Penjajah mengambil langkah melalui tindakan undang-undang yang dikuatkuasakan dengan arahan penjajah dan khadamnya daripada kalangan umat Islam sendiri. Mereka mencipta undang-undang bagi menghalang gerakan para ulama’ secara langsung atau undang-undang bertopengkan Islam bagi menipu umat Islam.
Penjajah berjaya menyebarkan penyakit jahil terhadap agama dalam kalangan bangsa Melayu yang kuat beragama Islam dengan meninggalkan ajarannya yang sempurna. Mereka bertindak melalui pendidikan, pelajaran, dan pentadbiran demi melahirkan pemimpin Melayu yang melaksanakan agenda mereka.
Inilah satu perancangan jangka panjang bagi meneruskan penjajahan, apabila mereka terpaksa memberikan kemerdekaan kerana kalah menghadapi kumpulan Islam yang berjuang menentang penjajahan yang terdiri daripada kalangan para ulama’, raja, dan pemimpin yang tidak menyerah kalah.
Walaupun para pejuang yang menentang penjajahan itu tidak sempat menghalau penjajah, mereka meninggalkan pengikut yang meneruskan perjuangan menentang penjajahan atas nama dakwah dan jihad menegakkan Islam dalam perjuangan yang tidak putus bertali arus. Di samping itu, mereka berjaya melahirkan kumpulan Islam yang menentang penjajahan yang menjadi pejuang kemerdekaan yang sebenar.
Adapun penjajah pula berjaya melahirkan kumpulan yang mendukung kefahaman mereka yang salah sehingga menjadi bala tentera dan kumpulan yang bersama penjajah menentang para pejuang kemerdekaan, di samping menjadi tentera dan jentera dalam meneruskan penjajahan.
Apabila negara kuasa besar penjajah yang terlibat dalam dua Perang Dunia menjanjikan kemerdekaan kepada tanah jajahan, rakyatnya menjadi tentera yang membantu penjajah sehingga tanah air menjadi medan perang, sementara rakyat pula paling ramai menjadi korban. Akan tetapi, kemerdekaannya diserahkan kepada anak negeri yang dapat meneruskan dasar dan sistem yang diamalkan oleh penjajah serta meneruskan hubungan bawah pengaruh negara penjajah.
Keadaan ini menjadikan negara tidak merdeka dalam erti kata yang sebenarnya, hanya bertukar pemimpin kepada bangsa anak negeri. Maka, Hari Kemerdekaan lebih tepat ditukarkan nama kepada Hari Kebangsaan.
Bangsa penjajah itu sudah keluar pulang ke negara asal masing-masing, tetapi dasar, sistem pemerintahan, dan perlembagaan yang digubal mereka tidak memberikan kuasa untuk mendaulatkan Islam. Raja-raja yang dislogankan sebagai berdaulat dan menjadi ketua agama pula sebenarnya tidak berdaulat dengan makna yang sebenar, kerana kuasa Islam dicabut dan kuasa raja-raja yang dilantik menjadi ketua agama Islam adalah tidak sempurna.
Islam menjadi agama yang diperintah, bukannya memerintah, bilamana pelaksanaan syariatnya tidak mengatasi undang-undang ciptaan manusia, walaupun Islam dinyatakan sebagai agama negara.
Negara pula diletakkan bawah Komanwel (Commonwealth of Nations atau British Commonwealth) yang dianggap laksana payung negara yang pernah menjadi tanah jajahan British serta dijadikan kiblat politik dan ekonomi, walau kiblat solat, haji, dan umrahnya ke arah Kaabah di Makkah.
Ibn Khaldun RH menegaskan dalam al-Muqaddimah:
الْمَغْلُوبَ يَتَشَبَّهُ أَبَدًا بِالْغَالِبِ فِي مَلْبَسِهِ وَمَرْكَبِهِ وَسِلَاحِهِ فِي اتِّخَاذِهَا وَأَشْكَالِهَا، بَلْ وَفِي سَائِرِ أَحْوَالِهِ.
“(Kebiasaannya), bangsa yang kalah atau yang dijajah akan sentiasa berbangga dengan (meniru atau menyerupai) pihak yang menjajah sehingga terpengaruh dengan budaya mereka (pemakaian, tunggangan, dan senjatanya), bahkan dalam keseluruhan kehidupannya.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, jld. 1 (al-Muqaddimah), hlm. 184]
Walau kita dikatakan sudah merdeka dengan teriakan merdeka dan bangsa penjajah sudah keluar, segala kefahaman penjajah masih mempengaruhi rakyat yang dijajah. Sebenarnya, perjuangan kemerdekaan belum selesai kerana ia tidak sempurna. Perjuangan kita kini ialah menghadapi penjajah daripada bangsa dan kaum sendiri yang mengambil alih tugas penjajah.
Sabda Rasulullah SAW menyifatkan musuh Islam pada akhir zaman:
هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا.
“Mereka berkulit dan berwajah sama dengan kita dan bercakap dalam bahasa yang sama dengan kita.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, no. 7084, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1847, daripada Huzaifah bin al-Yaman]
Kumpulan yang dibentuk oleh penjajah pula dinobatkan menjadi pahlawan pejuang kemerdekaan. Adapun pejuang kemerdekaan yang sebenar bukan sahaja dipinggirkan, bahkan dibatalkan dalam penulisan sejarah, malah ada yang dipenjarakan dan juga dibunuh.
Peranan para sultan dan raja Melayu serta para ulama’ dipadamkan malah menjadi sasaran, seperti Sultan Abdullah II (Sultan Perak) yang dibuang negeri, Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor), dan lain-lain. Daripada kalangan pembesar, mereka ialah seperti Dato’ Maharaja Lela, Tok Gajah (Indera Gajah), Dato’ Bahaman (Orang Kaya Semantan), Dato’ Dol Said, dan lain-lain.
Daripada kalangan ulama’ pula, mereka ialah seperti Tok Janggut di Kelantan, Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu) yang ditauliahkan oleh Khalifah ‘Uthmaniyyah menjadi salah seorang khalifah di Tanah Melayu sehingga kemangkatannya, Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, dan lain-lain.
Nasib negara Islam terus mundur dan bermasalah disebabkan oleh ajaran penjajah yang gagal, mengikuti negara besar penjajah yang sedang merudum.
Allah SWT menetapkan bahawa cahaya Islam sekali-kali tidak boleh dipadamkan sebagaimana firman-Nya:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membenci.” [Surah al-Saff: 8]
Kita sedang menyaksikan negara-negara besar merudum bersama ideologi masing-masing yang tidak memenuhi ciri kejadian manusia, sambil benteng mereka ditembusi oleh cahaya Islam.
Penjajah akhirnya gagal menggunakan anak-anak umat Islam yang dididik menjadi alat apabila ramai yang kembali kepada Islam, kerana menyaksikan negara penjajah yang musnah kemanusiaannya dan Islam mula diterima.
Peristiwa Firaun yang gagal menghalang kelahiran Nabi Musa AS yang dibesarkan di dalam istananya, tiba-tiba Nabi Musa itulah yang menumbangkan kerajaannya yang zalim.
Selamat Hari Kebangsaan bersama Islam yang mencapai kemerdekaan yang sebenar. Tegakkan Islam dan Melayu yang memimpin masyarakat majmuk, semuanya selamat. Tanpa Islam, pasti Melayu tidak selamat, begitu juga yang lain-lain kerana berada di dalam bahtera yang sama.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Rabi’ul Awwal 1447 / 27 Ogos 2025