Oleh : Nur Marlyannah Umar
26 Ogos 2023
LAHAD DATU : Murid SRITI Tahfiz Lahad Datu diseru berkongsi dan meraikan sambutan kemerdekaan dengan penuh kecintaan, kebanggaan dan bersyukur atas hasil jerih payah generasi terdahulu.
Ketua Pemuda PAS Cawangan, Razik Tan berkata, walaupun sudah 66 tahun Malaysia merdeka, ia tidak memberi kesan apa-apa makna sekiranya masyarakat tidak menanam rasa syukur dalam diri.
“Syukur bukan hanya di mulut, tetapi perlakuan kita yang memastikan keamanan yang dikecapi berkekalan” tegasnya ketika berucap merasmikan Sambutan Kemerdekaan Sriti Tahfiz Lahad Datu.
Tambahnya lagi kemerdekaan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil dari perjuangan orang-orang terdahulu.
“Syukur yang dituntut dalam menanam rasa cinta terhadap tanah air termasuk membantu negara mencapai kemajuan dan keamanan, memelihara nama baik negara di mata dunia selain mempertahankan negara dari sebarang ancaman,” jelasnya lagi.
Sebelum ucapan perasmian dimulakan tetamu kehormat dan hadirin diserikan dengan persembahan gerak gempur silat daripada Silat Akademi Gerak Tangkas Seni Lahad Datu.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan, ia termasuklah pertandingan silang kata, kuiz, cipta pantun, cipta sajak, mewarna, melukis dan berbusana zaman kepahlawan melayu.
Turut hadir, Pengerusi SRITI Tahfiz Lahad Datu Zaki Ibrahim dan Ahli Majlis Daerah Kanizam Kamis.