Home Berita PAS Terengganu

Harga Santan Menjelang Aidilfitri Jadi Kebimbangan

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pengguna di Terengganu tidak perlu bimbang tentang bekalan santan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, kerana ia dijangka mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi di musim perayaan.

Walau bagaimanapun, harga santan yang semakin meningkat seperti baru-baru ini menjadi kebimbangan utama pihak berkuasa dan kalangan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata pemantauan ketat akan dijalankan bagi memastikan harga santan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025.

“Bekalan santan dijangka mencukupi, namun kita akan pantau betul-betul harga dia kerana ada peniaga yang menjual santan sehingga RM20 sekilogram.

“Dalam senarai harga kawalan, harga maksimum ditetapkan pada RM17.50. Syukur, di premis seperti Sabasun, mereka tidak melebihi harga yang telah ditetapkan oleh KPDN.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun semalam.

“Selain santan, kelapa parut dan kelapa biji juga termasuk dalam senarai barangan kawalan SHMMP kerana bahan ini sering digunakan dalam penyediaan juadah Aidilfitri,” tambahnya.

Ariffin turut memberi jaminan bahawa bekalan beras tempatan dan minyak masak juga mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sempena musim perayaan ini.

Dalam pada itu, Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, memaklumkan bahawa walaupun stok minyak masak mencukupi, pihaknya tetap menghadkan jumlah pembelian bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara adil kepada semua pengguna.

“Stok minyak masak terhad, tetapi masih mencukupi untuk keperluan Aidilfitri. Oleh itu, pembelian dihadkan kepada dua unit bagi minyak paket dan satu botol bagi minyak botol untuk setiap keluarga,” jelasnya.