KUALA TERENGGANU – “Harga beras adalah bawah bidang kawal selia padi beras negara. Siapa pun pengedar dan pembungkus perlu patuh kepada siling harga yang ditetapkan,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) hanya bertanggungjawab membungkus dan mengedar beras MyGAP yang berkualiti tinggi dari sawah padi tempatan yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP.
“Kerajaan negeri terus bekerja keras bagi meningkatkan pengeluaran beras negeri dengan beberapa strategi termasuk pembukaan sawah padi baru, mengekalkan sawah padi sedia ada tanpa ditukar syarat, menaik taraf infrastruktur ladang, sistem pengairan dan kesuburan tanah serta kawasan bertanam sekali setahun ditingkatkan kepada dua kali setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkannya di akhbar Harian Metro yang menyatakan TADC akan meningkatkan pengeluaran beras sebanyak 100 tan metrik sebulan, berbanding hanya 60 tan metrik sebulan sejak Julai lalu.
Dalam kenyataan akhbar tersebut beliau memaklumkan, TADC akan bekerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mendapatkan tambahan beras berikutan penanaman padi musim pertama sudah berakhir Jun lalu.
“Pembelian beras tempatan daripada kilang Bernas diperlukan bagi menampung permintaan beras di negeri ini.
“Bagi memastikan bekalan beras tempatan dikeluarkan TADC mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Terengganu sementara menunggu pengeluaran padi musim kedua, kita akan membeli beras tempatan dikeluarkan beberapa kilang Bernas di negeri ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr Azman dalam laporan tersebut memberitahu, TADC membelanjakan RM270,000 untuk pembelian beras daripada beberapa kilang padi di negeri ini untuk proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal yang dilantik untuk dipasarkan.
“Walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import berkuat kuasa Jumaat lalu, tapi kita akan memastikan tiada kenaikan harga bagi beras Super Special Tempatan (SST) dikeluarkan TADC.
“Kita akan pastikan Berasganu My GAP dikeluarkan TADC dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram dan RM25.60 bagi setiap pek 10 kilogram,” katanya memetik laporan Harian Metro.