Home Berita PAS Terengganu

Hapus sekatan ekonomi Syria : Strategi Politik atau perangkap baharu AS?

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keputusan Amerika Syarikat untuk membatalkan sekatan ekonomi terhadap Syria selepas lebih tiga dekad menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju geopolitik baharu di Asia Barat, khususnya terhadap dunia Islam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeru. Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, langkah yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika lawatan ke Arab Saudi itu, tidak berlaku secara percuma.

Sebaliknya kata beliau, ia diyakini sebagai sebahagian daripada pelan strategik yang memberi manfaat besar kepada pihak Barat dan Zionis Israel.

Beliau menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga syarat yang menjadi sebahagian daripada ‘pakej’ penghapusan sekatan itu

“Keputusan ini bukanlah kosong dan sudah tentu mempunyai timbang balas yang mesti dibayar dengan harga yang mahal.

“Sekurang-kurangnya tiga habuan yang diperolehi oleh Amerika Syarikat: pertama pemerintah Syria menerima ‘Abraham Accord’ dengan erti kata lain adalah keterbukaan untuk normalisasi dengan Zionis Israel.

“Kedua, “kumpulan pengganas Palestin” hendaklah dihalau keluar dari Syria dan ketiga, pembangunan infrastruktur Syria yang hancur akibat perang akan dibangunkan oleh Barat dan sekutunya,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Dr. Khalil, ketiga-tiga syarat ini menzahirkan bahawa keputusan Washington lebih bersifat strategik, bukan kemanusiaan, dan mempunyai implikasi jangka panjang terhadap politik serta prinsip umat Islam di rantau itu.

Jelas Dr. Khalil, Presiden Syria, Ahmad Al-Shara’a dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa kerajaan kini mahu memberi tumpuan kepada pemulihan negara selepas perang saudara yang bermula sejak 2012 dan meragut ribuan nyawa.

Namun, Dr. Khalil memberi peringatan bahawa cabaran yang lebih besar sedang menanti Syria, termasuk usaha menyatukan semula pelbagai kumpulan berkepentingan yang sebelum ini bertelagah serta isu penerimaan rakyat terhadap normalisasi dengan Israel.

“Cabaran dalaman ialah mengembalikan kestabilan politik dengan menyatukan pelbagai kumpulan yang mempunyai kepentingan masing-masing.

“Tidak mudah untuk rakyat Syria menerima suasana baharu khususnya normalisasi dengan Zionis Israel yang merupakan musuh tradisi sejak zaman berzaman,” ulasnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Zionis Israel akan bersetuju untuk berundur dari kawasan yang dirampas di Syria, termasuk Bukit Golan dan wilayah selatan, jika benar terdapat rundingan antara AS dan Syria ke arah itu.

“Pada zahirnya, perkembangan ini menguntungkan Zionis Israel. Namun, di sebalik tabir, ekstremis Yahudi sangat tidak berpuas hati kerana peluangnya untuk menakluk Syria terbantut.

“Persoalaannya, adakah Zionis Israel akan menurut arahan Amerika Syarikat?,” soalnya.

Dalam pada itu, Dr Khalil menyeru seluruh umat Islam agar terus mendoakan keselamatan bumi Syria dan sentiasa berwaspada terhadap permainan kuasa besar yang sering tampil dengan janji pembangunan tetapi hakikatnya membawa agenda terselindung.

Sekatan ekonomi ke atas Syria mula dikuatkuasakan sejak awal 1990-an dan diperketat semasa konflik bersenjata bermula tahun 2012.

Ia melibatkan larangan import dan eksport, sekatan ke atas institusi kewangan, serta larangan pelaburan asing.