Home Berita PAS Terengganu

Hampir 10 ribu sukarelawan MyVac lancarkan proses vaksinasi

30
SHARE

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Sehingga kini seramai 9,999 sukarelawan menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dalam meningkatkan kelancaran proses vaksinasi di selurun negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memberangsangkan sehingga permohonan terpaksa ditutup sementara.

“Sejak bermulanya pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lalu, golongan terdiri daripada belia ini menjalankan tugas yang baik sejak pembukaannya.

“Tambah lagi dengan penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada minggu lepas, ia mempercepatkan lagi ikhtiar untuk ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas lawatan ke PPV TTC, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, sukarelawan terlibat juga perlu menjalani saringan kesihatan dan suntikan vaksin bagi menjamin keselamatan sepanjang usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Saya cukup kagum melihat semangat para sukarelawan MyVac (rata-rata baru menamatkan pengajian) yang begitu komited dalam menjalankan tugas,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 505 orang sukarelawan di 15 PPV bertugas sehari secara bergillir dengan 826 orang lagi menunggu panggilan perkhidmatan bila-bila masa.

“Mereka akan ditukar dalam fasa seterusnya kepada sukarelawan baharu untuk ambil tampuk tugas supaya produktiviti pemvaksinan kekal konsisten,” ujarnya.