KUALA TERENGGANU – Hak dan tanggungjawab wanita adalah dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan.
Sekali gus, ia menjadi isu utama dalam Dasar Wanita Terengganu yang menuntut penglibatan mereka secara menyeluruh dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri.
Menurut Pensyarah Kanan, English Learning Centre, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Azza Jauhar Ahmad Tajuddin, wanita merangkumi hampir 49 peratus daripada populasi Terengganu dan tidak lagi boleh dianggap sekadar pelengkap, sebaliknya rakan strategik dalam pembangunan negeri serta ummah.
“Wanita ialah guru pertama kepada anak-anak, penggerak masyarakat dan penyumbang besar kepada pembangunan negeri.
“Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi pendidik, pemimpin, penggerak ekonomi serta menguasai teknologi secara beretika,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Seminar Dasar Wanita Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, pada semalam.
Azza Jauhar menegaskan, keseimbangan antara hak dan tanggungjawab amat penting supaya dasar ini tidak hanya bersifat slogan, tetapi benar-benar memberi impak kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri.
Tambahnya, dengan pengiktirafan dan sokongan berterusan, wanita berupaya melahirkan generasi berdaya saing, beretika serta berperanan besar dalam kesejahteraan negeri.