Home Berita PAS Pahang

Haiwan ternakan berkeliaran perlu ditangani segera oleh pihak berwajib

162
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 18 Mei : Haiwan ternakan berkeliaran menjadi satu isu keselamatan nyawa dan harta benda orang awam di kawasan Damansara, Taman Dato Rashid, Sungai Ular, Cherating dan Chendor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu berkata, selain dari mengancam keselamatan, ia juga boleh menyebabkan berlakunya pencemaran dan kerosakan tanaman.

“Sudah kerap kali kemalangan dilaporkan akibat kurangnya kawalan berhubung haiwan-haiwan  ternakan yang berkeliaran ini.

“Perlu adanya sifat perikemanusiaan dan tanggungjawab khususnya untuk keselamatan para pengguna jalanraya serta keamanan penduduk,” kata Andansura Rabu.

Beliau seterusnya mencadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil iaitu;

1) Haiwan-haiwan ini perlu dikandang dan dikawal pergerakannya dan para penternak perlu diberi tempoh untuk melaksanakan peraturan ini.

2) Haiwan yang berkeliaran di kawasan awam selepas tempoh yang diberikan, perlu ditangkap dan dijual sekiranya tidak dituntut oleh pemiliknya.

3) Haiwan-haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing perlu dibuat penandaan (tagging) untuk kawalan yang lebih berkesan.

Namun menurut beliau, hasil dari perbincangan yang diadakan semalam, wakil dari Pejabat Veterinar Kuantan memaklumkan penguatkuasaan tagging belum dapat dilaksanakan sepenuhnya ekoran kekangan perundangan yang masih di peringkat kajian cadangan.

Tambah beliau, penangkapan hanya boleh dilakukan oleh pihak-pihak yang mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang, orang awam tidak boleh mengambil tindakan sedemikian kerana dibimbangi boleh menyebabkan implikasi undang-undang.

Undang-undang juga tidak mensyaratkan haiwan-haiwan ternakan perlu dikandang, hanya memadai dikawal agar tidak memasuki kawasan-kawasan awam.

“Saya memahami kekangan dari sudut tenaga kerja dan prosedur yang dihadapi oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini, dan tambah menyulitkan lagi, apabila Majlis Bandaraya Kuantan tidak memiliki kuasa secara langsung untuk menanganinya,” ujar beliau lagi.

Beliau menyeru agar para penternak dan pemilik haiwan-haiwan dapat bertanggungjawab dan memberi kerjasama dalam perkara ini dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberi komitmen dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan hal ini secara muktamad untuk kepentingan bersama.

Perjumpaan bagi membincang isu ini telah diadakan oleh Ahli Jawatan Kuasa PASDEC KRT Damansara yang dihadiri oleh Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Wan Napia’ah Wan Yusop, wakil-wakil daripada Pejabat Veterinar Daerah Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan, Pejabat Perpaduan Daerah Kuantan, Balai Polis Beserah, Ahli Jawatan Kuasa KRT Damansara dan KRT Taman Dato Rashid, Tok Empat Alor Batu, Mohd Zulkifli Ismail di Masjid Muamalat As-Sharif PASDEC Damansara Kuantan.