Home Berita PAS Terengganu

Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2  yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

“Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.

“Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA).

“Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya.

“Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan,” ujarnya.