Home Berita PAS Terengganu

Hadiah kecemerlangan : pembakar semangat buat 76 penerima di Rantau Abang

16
SHARE

Oleh : Nooreni Bakar

DUNGUN, 14 Julai – 76 orang pelajar cemerlang menerima Hadiah Kecemerlangan sebagai pembakar semangat untuk terus memperolehi kejayaan di masa hadapan.

Mereka merupakan pelajar-pelajar Sijil Pelajar Malaysia(SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia(STPM) 2020 di Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang.

Ruzaini Harun, 49 berkata sebagai ibu, beliau menganggap hadiah tersebut sebagai dorongan kepada penerima-penerima termasuk anaknya Nurul Adlina Roslan, 18 tambahan lagi terpaksa menyambung pengajian secara atas talian.

“Alhamdulillah saya bersyukur Adlina berjaya dalam SPMnya dalam keadaan berhadapan dengan banyak cabaran budaya norma baharu ,” katanya.

Sementara itu, Siti Nur Zulaiqa Fatihah Ahmad, 18 bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin(SMAASZA) yang berjaya memperolehi 10A di dalam peperiksaan SPM 2020 menganggap ianya sebagai penghargaan daripada seorang pemimpin masyarakat untuk rakyatnya.

” Ianya juga menjadi penguat semangat untuk sentiasa berusaha mendapat kejayaan kerana kejayaan tidak datang bergolek, setiap orang perlu kuat untuk berjaya,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) dalam bidang Syariah Islam.

Menceritakan pengalaman ketika belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah(PdPR) beliau mengakui hilang semangat untuk belajar.

“Alhamdulillah, sebulan sebelum peperiksaan, belajar secara bersemuka, dapat jumpa kawan-kawan dan masing-masing ingin bersaing,” ceritanya.

Sehubungan dengan itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun mengingatkan pelajar-pelajar berkenaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran agar kejayaan dapat diteruskan.

“Apa saja yang kita buat perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh, cuba buat yang terbaik, tambah lagi dalam suasana kena belajar secara ‘online’, jangan buat lebih kurang, jangan tinggal solat, cuba solat awal waktu, insya-Allah kita berjaya dunia akhirat,” pesan beliau lagi.