Home Berita PAS Terengganu

Hadiah 1,1,1 buat Terengganu

14
SHARE

KUCHING – Pasukan berbasikal lebuhraya Terengganu menutup tirai acara tersebut dalam Sukan Malaysia SUKMA XXI, dengan tiga pingat menerusi Kriterium lelaki dan wanita, hari ini.

Pada acara Kriterium lelaki yang berlangsung di Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan Bin Haji Satem pagi ini, Terengganu memenangi pingat Emas dan Perak, masing-masing melalui Mohamad Afi Danial Ramli dan Muhammad Iqbal Daniel Muhammad Nawawi.

Manakala, pingat gangsa diraih pelumba Muhammad Hafiq Mohd Jafri dari Melaka.

Afi Danial ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, sokongan daripada rakan sepasukannya banyak membantu dalam kemenangan itu.

“Saya hendak berterima kasih kepada kawan-kawan saya iaitu Afiq, Iqbal, Amad, Aiman Sarawak, Adam, Zhe Yie sebab merealisasikan impian emas saya selama ini.

“Sebelum berlumba saya sudah rasa kurang yakin sebab laluannya agak sukar. Boleh dikatakan, saya takut untuk (melakukan) ‘u-turn’ sehingga tidak boleh tidur malam semalam.

” Tetapi saya cuba set minda saya krmbali dan cuba buat yang terbaik untuk Terengganu,” katanya.

Dalam acara kategori wanita pula, Ameera Alya Md Zahiruddin berjaya meraih pingat gangsa sekalipun pasukan Terengganu mengalami kemalangan di awal perlumbaan itu.

Ameera mengumpul 12 mata, hanya satu mata di belakang pelumba Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi yang memperoleh pingat perak dengan 13 mata.

Pingat emas kriterium wanita dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari.

Secara keseluruhannya, pasukan berbasikal lebuhraya Terengganu telah menyumbang empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa buat kontinjen Terengganu.