Home Berita PAS Perlis

Guru SJKC terima sumbangan PAS Perlis

78
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 28 Jan: Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, guru-guru di tiga buah SJKC di negeri ini telah menerima sumbangan daripada PAS Negeri Perlis semalam.

Mereka terdiri daripada para guru yang berkhidmat di SJK(C) Hwa Aik Arau, SJK(C) Sin Min (Pauh) dan SJK(C) Kong Aik (Mata Ayer) di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Perlis, Zulkifli Rauf.

Hadir sama pada program tersebut, ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Latifah Mat.

Menurut Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, penyampaian sumbangan berkenaan sebagai meraikan mereka yang akan menyambut kedatangan perayaan terbesar masyarakat Cina di negara ini.

“Kita semua maklum bahawa perayaan ini akan disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka.

“Maka sumbangan yang diberikan pada hari ini adalah sebagai tanda ingatan daripada PAS Negeri Perlis kepada mereka (para guru) yang sudah semestinya tidak sabar-sabar menantikan kedatangan hari yang dinanti-nantikan itu,” katanya ketika ditemui.