Home Berita PAS Pahang

Guru PASTI dan SRITI diraikan sempena Hari Guru

8
SHARE

Oleh :  FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 22 Mei 2025 – Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Kuantan telah mengadakan program ziarah mesra ke 19 buah premis PASTI dan SRITI sekitar Parlimen Kuantan sempena Hari Guru, di sini baru-baru ini.

Ketua rombongan, ADN Tanjung Lumpur YB Dato’ Rosli Abdul Jabar berkata, program tersebut bukan sekadar simbolik sempena sambutan Hari Guru, malahan ianya adalah satu penghargaan kepada para pendidik yang berperanan dalam membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak sejak awal usia.

“Kami ingin menyampaikan bahawa jasa guru bukan hanya dihargai pada 16 Mei sahaja, tetapi setiap hari. Guru ialah penyambung risalah ilmu dan pendidik generasi pewaris perjuangan Islam,” katanya.

Sementara itu, Ketua DMP Kuantan, Ustazah Rosmani Mustafa berkata, program ini menjadi jambatan ukhuwah antara kepimpinan PAS dengan warga pendidik di peringkat akar umbi.

“Sebagai tanda penghormatan, setiap premis kita beri kek dan sejambak bunga kepada para guru, inisiatif ini membawa mesej bahawa guru bukan sahaja penyampai ilmu, malah pemacu perubahan dalam masyarakat Islam yang madani,” tambah beliau.

Program ini turut melibatkan kerjasama Dewan Pemuda PAS, Lajnah Pendidikan (LajPen) dan Majlis Guru PASTI (MGP) Kuantan.

Turut hadir adalah bekas calon N.28 Inderapura Tok Hafizal, Ketua Pemuda PAS Kuantan Habibullah Yusof, dan Ketua MGP Nor Hariati Juhar serta Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan DMP Kawasan Kuantan.