Home Berita PAS Terengganu

Gudang berteknologi tinggi di KSB dijangka beroperasi tahun depan

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebuah Gudang Berpusat berteknologi tinggi dijangka mula beroperasi di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) Sdn Bhd, anak syarikat kepada Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, menjelang tahun 2026.

Kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) itu merupakan salah satu daripada tiga memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sempena East Coast Energy (ECE 2025), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, perjanjian tersebut bertujuan untuk menubuhkan pusat sehenti di Kemaman bagi menyediakan perkhidmatan logistik menyeluruh untuk operasi huluan.

“Salah satu inisiatif utama ialah pembukaan gudang berpusat perintis di pangkalan bekalan Kemaman yang dijangka memulakan operasi pada tahun 2026.

“Gudang ini akan menggunakan alat digital, aliran kerja yang diseragamkan, dan infrastruktur bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

“Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi MPM, Handan Ramli dan saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC,” katanya.

Menurut PETRONAS, pendekatan ini dijangka dapat mengurangkan kos penyimpanan inventori, meminimumkan lebihan bahan, serta meningkatkan keterlihatan dalam rantaian bekalan.

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong, menyifatkan MoU tersebut sebagai komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P)

“Rantaian bekalan kami yang bersepadu dan mudah diakses menyokong aktiviti E&P di seluruh negara.

“MoU ini menggariskan matlamat kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan, penyeragaman operasi dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam rantaian nilai minyak dan gas.

“PETRONAS kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum dan tadbir urus sektor huluan,” nyatanya dalam satu kenyataan.