KUALA LUMPUR: Putar belit Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kononnya Kerajaan Negeri Kelantan meminta wang daripada Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji adalah kenyataan jahat yang tidak sebagaimana hal sebenar.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah menyangkal dan membidas dakwaan buruk dan negatif Guan Eng itu ketika Ceramah Perdana Muafakat Nasional Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak, di sini kelmarin dahulu.
“Kita minta duit tahun lepas bukan kerana Kerajaan Kelantan tiada duit, tetapi dia (Kerajaan Pusat) tidak bayar hutang. Itu yang tidak diceritakan oleh Lim Guan Eng. Tahun lepas, Kerajaan Persekutuan ada hutang RM180 juta lebih dengan Kerajaan Kelantan dia tidak bayar.
“Pegawai Kewangan Negeri hantar surat kepada Lim Guan Eng minta bayar. Kalau tak nak bayar hutang RM180 juta lebih ini, beri pendahuluan RM100 juta kepada Kelantan kemudian dikontrakan dengan hutang,” jelasnya membidas penipuan masih diulang Guan Eng.
Sedangkan Kelantan maklumnya, berjaya mencatat belanjawan dengan lebihan pendapatan (surplus) selama 3 tahun berturut-turut sejak 2017 dengan mencapai RM45 juta menerusi pungutan hasil dan bukannya mengurangkan perbelanjaan.
Bahkan jelasnya yang juga Naib Presiden PAS, jumlah tersebut tidak termasuk ‘one-off’ sebanyak RM400 juta diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurut beliau, angka RM45 juta dengan surplus tiga tahun berturut-turut itu adalah satu pencapaian besar dari segi pentadbiran dan pengurusan kewangan disebalik pelbagai keterbatasan dan tekanan atas Kelantan.
Beliau juga menjawab skeptikal bahawa Kelantan mundur, kerana aspek geografi dan insfrastruktur tidak sewajarnya dijadikan bandingan antara negeri tersebut dengan Selangor yang memiliki kemudahan lebuh raya, pelabuhan dan sebagainya.
“Selangor ini kalau bagi kita (PAS) memerintah, jauh lebih baik dari PH sebab di negeri itu ada belaka semua cukup dah. Siapa jadi kerajaan, dia boleh tadbir dengan baik, syaratnya tidak salah guna kedudukan.
“Ini perkara orang lupa, asyik menyalahkan Kelantan mundur miskin kerana PAS perintah. Sedangkan kalau tengok negeri lain yang PAS tidak memerintah, miskin mundur juga,” jawabnya.
Apatah lagi katanya, jika PAS bersama Umno menjadi kerajaan, akan boleh memerintah Malaysia lebih baik sebagaimana bukti kejayaan di Kelantan walaupun disekat serba-serbi mampu membayar gaji dan mengadakan pembangunan seadanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2020