Home Berita PAS Terengganu

Graduan perlu tingkat kemahiran bagi penuhi keperluan industri

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dunia pekerjaan pada masa kini bukan hanya menuntut graduan untuk cemerlang akademik, tetapi perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi untuk bersaing di pasaran kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, graduan perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka.

“Konvokesyen merupakan suatu titik permulaan bagi graduan mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi dan memahami erti dan cara kehidupan berkerjaya.

“Bagi mereka yang memasuki alam pekerjaan perlu menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan majikan.

“Gunakan masa yang ada bagi mengasah dan menambah kemahiran para graduan agar dapat menjadi warga kerja efisien, kreatif dan inovatif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) Kali Ke-7 di Duyong Marina Resort, di sini, semalam.

Dalam pada itu Satiful berkata, pembangunan modal insan dan pembangunan tenaga kerja di dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan dua elemen utama dalam usaha melonjakkan kemajuan bagi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, stigma masyarakat pada hari ini yang masih beranggapan bahawa TVET dilihat sebagai sektor pendidikan kelas kedua perlu diubah.

“Perkara ini amat berbeza sekali dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun di mana kebanyakkan sektor pekerjaan telah lama memberi fokus kepada sektor tenaga berkemahiran dalam pelan pembangunan modal insan mereka.

Oleh itu, saya amat berharap agar kita juga tidak ketinggalan dalam memantapkan pembangunan modal insan terbaik di bidang kemahiran bagi menyokong kelestarian bidang TVET di Terengganu,” ujarnya.