KUALA NERUS – Memegang status Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal, tidak menghalang Wan Nursolehah Wan Mohd Fauzi ,25, menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Dengan Kepujian.
Lebih membanggakan, Wan Nursolehah berkongsi detik manis tersebut bersama pasangan kembarnya Wan Nurfatihah yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sama dan bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21, hari ini.
Menurut anak ketiga kelahiran Kelantan dan dibesarkan di Johor itu, kakak kembarnya dilahirkan normal tetapi dia mengalami sedikit kecacatan dimana tangan dan kaki kirinya pendek.
Berkongsi kisah, Wan Nursolehah berkata, disebabkan memiliki minat yang sama dalam bidang psikologi, masing-masing sepakat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Kaunseling di UMT dan berjaya bergraduasi dengan Purata Gred Kumulatif 3.50.
Mengakui kadang kala tiada keyakinan diri dan malu berdepan dengan orang ramai yang melihatnya kurang sempurna berbanding kembar dan rakan-rakan lain, namun tetap bersyukur kerana diberikan nikmat kasih sayang dari keluarga dan rakan seperjuangan tanpa membezakan fizikalnya.
“Emak pesan agar saya yakin dan reda dengan pemberian Allah. Pesan emak akan sentiasa saya semat dihati sampai bila-bila. Sejak dulu saya berazam mahu jadi lebih baik daripada kakak (kembar).
“Bagaimanapun saya menjadikan kakak sebagai pembakar semangat dan saingan tambahan kami belajar dalam bidang yang sama dan selalu bersaing untuk mendapat markah paling tinggi setiap kali peperiksaan,” ujarnya.
Katanya, kesukaran menyesuaikan diri di kampus antara cabaran perlu dilalui apabila kolej kediaman dengan fakulti agak jauh dan menyukarnya untuk bergerak tetapi dia bersyukur kakak kembarnya banyak membantu selain keprihatinan pihak universiti menyediakan kemudahan untuk OKU sepertinya.
Bagi Wan Nursolehah, kekurangan diri tidak menghalangnya untuk berjaya dalam akademik.
“Ianya bukan halangan, bahkan pemangkin semangat untuk berjaya dan dapat membanggakan ibu dan bapa,” katanya yang merupakan antara 2,388 graduan UMT diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula semalam hingga Selasa ini.