KUALA TERENGGANU — Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, akan membangunkan sebuah loji pengeluaran biochar di Dungun menerusi kerjasama dengan syarikat kejuruteraan tempatan, GK Vest Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, GPB berkata loji berkenaan akan dibina di atas tanah seluas 0.48 hektar milik anak syarikatnya, GP Plywood Sdn Bhd.
Biochar ialah sejenis arang yang dihasilkan daripada bahan organik seperti sisa kayu melalui proses pirolisis, dan digunakan secara meluas dalam sektor pertanian serta pengurusan karbon bagi memperbaiki struktur tanah, mengekalkan kelembapan dan menyerap karbon untuk jangka masa panjang.
Projek tersebut akan dilaksanakan melalui perkongsian hasil, dengan GK Vest menerima 80 peratus daripada hasil bersih manakala GP Plywood memperoleh 20 peratus.
Perjanjian itu akan disemak secara berkala berdasarkan keadaan operasi, kewangan dan peraturan semasa.
Menurut GPB, GP Plywood akan memudahkan urusan mendapatkan lesen dan permit berkaitan projek, selain menyediakan kawasan serta kemudahan operasi. GK Vest pula bertanggungjawab membiayai sepenuhnya kos modal dan operasi, memastikan loji siap selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2026, serta mengurus program karbon dan penjualan produk alam sekitar berkaitan.
Lembaga Pengarah GPB yakin projek ini mempunyai potensi besar memandangkan kumpulan mempunyai akses kepada lebihan hasil hutan daripada anak syarikat yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.
“Dengan bekalan balak dan sisa hutan yang tersedia, kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa bagi produk biochar, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang mampan dan menguntungkan,” kata kenyataan itu.
Kerajaan negeri Terengganu memiliki 68.94 peratus pegangan dalam GPB melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd (60.80 peratus) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (8.15 peratus).