KUALA TERENGGANU – TI Properties menawarkan ‘Gold Bar’ bernilai RM15,000 melalui kempen Jadilah Pelawat Drawbridge Yang Ke Setengah Juta sebagai penghargaan kepada para pengunjung yang telah berkunjung ke Kuala Terengganu Drawbridge.
Selain itu, sebuah motorsikal jenama Honda ADV turut menanti pengunjung yang bertuah dan pelbagai hadiah berupa barangan elektrik sebagai hadiah sampingan kepada para pemenang yang lain.
TI Properties dalam satu kenyataan berkata sebagai anak syarikat yang berada di bawah Terengganu Incorporated, yang diberi mandat dan tanggungjawab untuk mengoperasikan Kuala Terengganu Drawbridge mengadakan kempen ini untuk memperluaskan lagi jenama Kuala Terengganu Drawbridge ke seluruh Malaysia
“Kuala Terengganu Drawbridge telah memulakan perkhidmatannya kepada orang ramai pada tahun 2019 dengan membuka ruangan Galeri untuk dikunjungi oleh orang ramai.
“Memandangkan jumlah pelawat hampir mencecah setengah juta, pihak TI Properties sedang mengadakan dan menaja hadiah istimewa kepada para pengujung yang bertuah sebagai penghargaan di atas pencapaian ini,”ujar kenyataan tersebut.
Antara syarat-syarat kempen ini ialah, para pelawat perlu mengimbas kod QR yang telah disediakan untuk tujuan penyertaan Pelawat Drawbridge Yang Ke Setengah Juta dan rujukan pihak penganjur termasuk mengisi nombor kod bar yang tertera di tiket, nama penuh, email, nombor kad pengenalan, nombor telefon, negeri dan skala syor penilaian ketika mendaftar.
Pelawat yang ke setengah juta akan ditentukan apabila rekod capaian mencecah yang ke setengah juta dan menepati syarat-syarat penyertaan
Sementara itu, bagi para pelawat yang ingin menyertai cabutan bertuah perlulah membeli minima sebanyak tiga pakej dan produk yang terdapat di Kuala Terengganu Drawbridge.
“Terdiri daripada tiket galeri, lawatan teknikal, memancing dan pembelian barangan cenderahati. pakej galeri bersama lawatan teknikal (Pakej B) dikira sebagai dua pakej yang berbeza,”katanya lagi.
Bagi acara cabutan bertuah, peserta yang memenuhi syarat yang telah ditetapkan akan tercalon dalam sesi cabutan bertuah.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman media sosial rasmi Facebook dan Instagram Kuala Terengganu Drawbridge.