Home Berita PAS Sabah

Giatkan kempen daftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan – PAS Putatan

68
SHARE

Oleh : Nursam Mohammad

5 Jun 2021

PUTATAN – PAS Kawasan Putatan menyeru solidariti para pemimpin masyarakat Sabah menggembleng usaha bersama bagi menjayakan pendaftaran rakyat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Seruan yang disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman, Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan adalah merangkumi semua peringkat dan kawasan bermula daripada pemimpin kerajaan negeri, parti politik mahupun tokoh-tokoh masyarakat setempat.

Menurut rekod Jawatan Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan, sehingga 3 Jun 2021 Negeri Sabah masih merekodkan peratusan terendah dalam negara dengan hanya 19.63 peratus sahaja daripada 575,326 penduduk yang sudah berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Saya menyeru agar semua pihak memainkan peranan aktif bagi meningkatkan kesedaran rakyat Sabah khususnya untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.” katanya.

“Rekod jangkitan Covid-19 positif pada setiap hari sekarang semakin meningkat dan kini berada pada paras membimbangkan.”

“Kami daripada PAS Kawasan Putatan dengan semua peringkat kepimpinan parti telah melancarkan kempen dalam kalangan ahli. Kami akan terus berusaha dengan lebih proaktif untuk memastikan maklumat sampai kepada rakyat, seterusnya membantu pendaftaran vaksinasi Covid-19,” tambahnya lagi.

Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan boleh dilakukan secara atas talian, menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my.

Sabah menunjukkan trend pertambahan kes sebanyak 3 angka dan kes kematian juga dicatatkan setiap hari. Statistik ini sangat membimbangkan, justeru memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama mengatasinya.

Dalam Islam, pengambilan vaksin adalah bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud, “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” Ini sangat bertepatan dengan usaha kerajaan yang mensasarkan 80 peratus populasi divaksin bagi mencapai imuniti kelompok (‘herd immunity’).

Umat Islam juga dingatkan tidak perlu risau akan hukum halal dan haram vaksin ini. Ini kerana kerana telah diputuskan hukumnya sebagai harus dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Putatan turut mengharapkan agar masyarakat Sabah dapat bersama menggalas tanggungjawab mengajak lebih ramai lagi anggota masyarakat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin, bermula dengan keluarga masing-masing, seterusnya rakan-rakan dan komuniti setempat.