DUNGUN – Ghazali Sulaiman sekali lagi dipertaruhkan PAS bagi menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melawan Calon Barisan Nasional, Dato’ Din Adam.
Kedua-dua mereka disahkan layak bertanding setelah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azrul Faiz Shairudin.
Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Besi diadakan di Dewan Al-farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dengan tempoh masa diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi calon bertanding mengemukakan kertas penamaan calon masing-masing.
Terdahulu, Din menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi diikuti Ghazali pada jam 9.11 pagi.
Pertembungan dijangka sengit memandangkan sebelum ini Din pernah menjadi ADUN Bukit Besi selama dua penggal dari 2008-2013.
Manakala Ghazali hanya kalah tipis sebelum ini kepada calon BN, Roslee Daud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu dengan majoriti 46 undi.
Sebelumnya, kedua-dua calon diiringi ratusan penyokong yang memenuhi perkarangan Pusat Penamaan Calon.
Paling mencuri tumpuan adalah penyokong dari PAS yang paling ramai dengan 700 lebih mengiringi calon dengan perarakan sambil mengalunkan zikir munajat, selawat serta doa.