Home Rencana PAS Sabah

Gesaan Kerajaan Perbaiki Jalan : Contohi Perangai Saidina Umar Al-Khattab

16
SHARE

Saya tartarik dengan kenyataan ADUN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan sebelum ini yang menegaskan perlunya kerajaan negeri memberikan perhatian serius perihal jalan yang menjadi sebahagian daripada keperluan rakyat.

Saya sendiri pernah mengalami kerosakkan rim dan tayar semasa melalui salah satu jaringan jalan yang menghubungkan Tawau ke Semporna semasa perjalanan menuju tempat bertugas. Bukan sekali tetapi dua kali. Kerosakkan ini akibat melalui lubang dengan saiz jalan yang kecil. Itu tidak masuk lagi kes kemalangan lain yang sememangnya ada akibat keadaan jalan yang rosak dan berbahaya.

Syukur alhamdulillah tidak melibatkan kemalangan jiwa walaupun melalui saat genting mengendalikan kereta yang rosak semasa berjalan. Saya ingin menarik perhatian pihak berkuasa dengan kisah menarik zaman Saidina Umar.

Saidina ʿUmar al-Khaṭtab رضي الله عنه bukan hanya seorang pemimpin yang adil, tetapi juga sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat — termasuk hal yang dianggap kecil seperti keadaan jalan.

Diriwayatkan bahawa beliau pernah berkata :

لَوْ عَثَرَتْ دَابَّةٌ فِي الْعِرَاقِ لَخَشِيتُ أَنْ يَسْأَلَنِي اللهُ: لِمَ لَمْ تُمَهِّدْ لَهَا الطَّرِيقَ يَا عُمَر؟»

“Jika seekor haiwan terjatuh di Iraq, aku bimbang Allah akan tanya aku: Wahai Umar, mengapa kamu tidak ratakan jalan untuknya?”

(Al Imam Ibn al-Jawzi, Manaqib ʿUmar ibn al-Khaṭtab)

Kata-kata ini mencerminkan betapa Saidina Umar memandang amanah kepimpinan bukan sekadar soal besar, tetapi termasuk hal seharian rakyat seperti keselamatan di jalan.

Menjaga dan membaiki jalan bukanlah hanya isu fizikal atau prasarana. Ia adalah lambang tanggungjawab, kasih kepada rakyat, dan takut kepada Allah. Pemimpin yang mencontohi Umar akan memastikan rakyat tidak dizalimi walau oleh jalan yang rosak.

Semoga kisah ini memberikan teguran seterusnya inspirasi kepada kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui orang Islam untuk segera menyelesaikan isu jaringan jalan.

Abu Maryam Safiyah
20 Jun 2025
Kunak, Sabah