Home Minda Presiden

Gerakan menyingkirkan Islam di Sudan

500
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 34 / 2023]
GERAKAN MENYINGKIRKAN ISLAM DI SUDAN


Apabila kerajaan pimpinan Presiden Omar al-Bashir dikuasai oleh kumpulan Islam, banyak penyelesaian dalam negaranya berlaku secara aman. Kerajaannya pula dipilih secara demokrasi yang juga memberikan kemenangan kepada kumpulan Islam, sekali gus menjadikannya sasaran sikap ‘double standard’ antarabangsa yang dibayangi oleh Zionis dan Salibiyyah yang tidak menghentikan permusuhannya terhadap Islam.

Dalam pada itu, Sudan pula kaya sumber buminya khususnya kesuburan bumi yang berada di Lembah Nil, banyak membantu sumber makanan kepada negara Afrika Timur dan negara Arab. Hasil perut buminya banyak menjadi sumber yang masih terpendam khususnya emas, nadir bumi, petroleum dan uranium yang menarik perhatian semua pihak.

Kedudukan negaranya yang strategik di Laut Merah dalam laluan antarabangsa juga menjadi perhatian kuasa besar dunia timur dan barat. Semua faktor tersebut meletakkan Sudan sebagai sebuah negara yang dijadikan sasaran oleh semua pihak.

Kedatangan Islam sejak awal di Sudan menjadikan pengaruh ajaran Islam yang sangat kuat, sehinggakan rakyatnya yang berbangsa Afrika boleh berbahasa Arab dan disenaraikan dalam kalangan negara Arab. Sudan juga telah melahirkan ramai ilmuwan Islam, sebahagiannya berada di Sudan dan sebahagian lagi berada di luar negara, khususnya di Eropah dan Amerika yang banyak memberikan sumbangan dakwah Islam kepada penduduk setempat dan para pelajar daripada negara Islam yang mencetuskan kesedaran Islam dan membawanya pulang ke negeri masing-masing.

Kerajaan Sudan juga antara pihak yang paling banyak membantu perjuangan Palestin dan Afghanistan, khususnya daripada kalangan kumpulan Islam. Sehinggakan, mereka dituduh menjadi penyumbang kepada kumpulan pengganas, khususnya oleh negara haram Israel dan sekutunya.

Israel pernah melancarkan serangan udara ke atas Port Sudan yang dituduh menjadi pangkalan bagi membantu Palestin oleh negara Iran dan lain-lain negara. Keutamaan pihak Zionis ialah menyekat bekalan kepada kumpulan Islam yang dilabelkan pengganas itu.

Selain itu, mengambil kira hubungan yang mesra antara Sudan dengan Iran yang juga disenaraikan sebagai pengganas kerana menguatkan kumpulan negara yang anti-Zionis, bahkan Sudan termasuk salah sebuah negara yang tidak mengiktiraf negara haram Israel. Akhirnya, Sudan disenaraikan dalam negara yang dimusuhi kerana kononnya bersama pengganas.

Maka, banyaklah langkah bertindak terhadap negara Sudan diambil, bermula daripada kepungan ekonomi, politik dan media, sehingga menyeret Presiden Omar al-Bashir ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana tuduhan jenayah yang sengaja diada-adakan ke atasnya. Walaupun tindakannya sebelum itu adalah menentang pemberontakan yang berlaku di wilayah Darfur dan Selatan Sudan yang juga dicetuskan oleh campur tangan asing.

Tiada beza bandingannya dengan keganasan yang nyata terhadap Afghanistan dan Iraq yang dipejamkan matanya, dengan alasan bertopengkan menentang keganasan dan mendukung kebebasan demokrasi.

Terdapat kajian-kajian yang dirancang untuk memecahkan Sudan kepada beberapa wilayah menjadi negara baharu yang diwujudkan mengikut agenda Sykes-Picot dahulu. Perkara ini dilakukan dengan mengambil kesempatan daripada pecahan kabilah yang menjadi penyusunan masyarakat Sudan dan juga krisis ekonomi yang disebabkan oleh kepungan yang dikenakan ke atasnya.

Secara terbuka, pihak asing telah memberikan bantuan kepada wilayah dan suku kaum yang menentang kerajaan Sudan. Akhirnya, wilayah Selatan Sudan yang bermajoriti bukan Islam, tetapi pesat perkembangan Islamnya terpaksa diberikan kemerdekaan, namun hasil bumi yang menjadi sasaran negara Barat dan Israel seperti hasil petroleum tidak dapat dikeluarkan kerana kedudukan geografinya berada di pedalaman Afrika tanpa pelabuhan dan pangkalan menyebabkan terpaksa melalui negara Sudan juga.

Negara yang rakus gagal mendapat manfaat yang banyak, adalah satu tindakan politik bagi meredakan tekanan terhadap negara Sudan. Negara Selatan Sudan terus bermasalah dan perkembangan Islam di sana tetap terus berlaku.

Kesempatan juga diambil daripada krisis Darfur yang kaya sumber buminya, dengan kewujudan kumpulan separa tentera Rapid Support Force (RSF) pimpinan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hamidati), seorang pemimpin Badwi yang tidak berpendidikan tinggi. Beliau juga merupakan seorang peniaga unta dan pakaian, sehinggakan mempunyai lombong emas yang sangat kaya, malah dikatakan mempunyai hubungan dengan usahawan Israel.

Asalnya kumpulan RSF ditubuhkan daripada pasukan yang berperanan mengawal urusan perniagaannya untuk menentang perompak di padang pasir Sudan, Libya dan Chad sehingga mendapat sokongan daripada beberapa kabilah di sekitarnya.

Pada awalnya, Presiden Omar al-Bashir menggunakan kumpulan RSF bagi menentang pemberontakan yang melanda di Darfur. Sehingga mereka diizinkan dengan jumlah yang sangat besar dan dipersenjatai dengan kekayaannya sendiri, serta bantuan pihak asing. Pasukannya pula diiktiraf menjadi sebahagian daripada pasukan tentera Sudan.

Hamidati dipergunakan bagi mendukung penggulingan kuasa oleh pihak tentera terhadap kerajaan Omar al-Bashir yang telah dicatur oleh pihak asing kerana alasan Barat untuk mengekang peranan Islam yang dilabel sebagai pengganas. Bersamanya parti-parti yang berkonsepkan sekular termasuk kalangan parti yang paling kanan fahaman liberalnya dan parti yang paling kiri fahaman komunisnya.

Setelah berjaya menggulingkan kerajaan terdahulu selepas diberikan jalan oleh tentera, diikuti pula dengan protes yang dilakukan melalui demonstrasi jalanan. Tindakan itu diambil dengan alasan tentera di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan masih mengekalkan kalangan Islam dan masih mengekalkan penyokong Omar al-Bashir berada dalam kerajaan, serta alasan pelaksanaan demokrasi yang sebenar tanpa penglibatan kumpulan Islam.

Apabila pihak tentera bersetuju kepada peralihan demokrasi dan pilihan raya umum, termasuklah cadangan agar tentera RSF yang ditubuhkan itu digabungkan menjadi satu dalam tentera Sudan, namun mereka tidak menerima cadangan tersebut.

Tiba-tiba diramalkan sekiranya diadakan pilihan raya, ia pasti akan dimenangi oleh kumpulan Islam dan ingin terus mengekalkan pasukan tentera RSF. Maka, diatur suatu rampasan kuasa melalui pasukan RSF dengan bantuan luar daripada negara serantau dan Barat bagi menggulingkan kerajaan tentera yang dikira bersekongkol dengan kumpulan Islam.

Mereka datang secara berduyun-duyun ke Khartoum, ibu negara tanpa kebenaran pihak tentera. Apa yang berlaku merupakan langkah yang sangat terbuka apabila ia dilaporkan oleh media tanpa menghiraukan amaran pihak tentera.

Gerakan mereka yang gelojoh dengan sokongan asing daripada negara serantau dan Barat itu terdedah dan ditentang oleh tentera yang lebih kuat kelengkapannya.

Namun, negara luar tidak berani campur tangan secara langsung kerana keberanian bersejarah rakyat Sudan yang pernah menentang penjajah British dan membunuh Jeneral Charles George Gordon yang mengepalainya pada tahun 1885. Kejadian itu mendahului peristiwa terkini yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan Syria yang masih menjadi igauan yang mengerikan mereka.

Kini, mereka lebih mengambil pendekatan diplomatik dengan menggunakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika (AU) dan beberapa negara dengan mendesak gencatan senjata dan perdamaian dengan alasan membendung masalah kemanusiaan. Walaupun sebenarnya lebih bertujuan politik bagi menyelamatkan pemberontak yang terkepung di kawasan bandar di celah-celah rakyat awam yang dijadikan perisai manusia.

Bahkan, kumpulan pemberontak telah dihalang segala bekalannya dan mereka gagal mendapatkan bantuan tambahan daripada berbagai-bagai wilayah serta pihak luar. Langkah memberi nafas kepadanya dengan mendapat bantuan melalui campur tangan asing hanya menukar konflik yang berlaku kepada perang saudara secara proksi atau akan memanjangkan lagi krisis yang tercetus.

Adapun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab (AL) pula tidak diberikan peranan dan tidak dapat bersuara secara lantang, maka ia menunjukkan betapa peranan Islam telah dinafikan. Mesir pula sangat memelihara hubungannya dengan negara Sudan dalam semua situasi kerana kedudukan geografi khususnya Sungai Nil, malah bagi menghadapi ancaman Ethiopia yang membina empangan yang mengancam negara Mesir dan rakyatnya.

Kita menyaksikan masing-masing setiap negara itu sekadar berusaha untuk menyelamatkan rakyatnya daripada terperangkap, tanpa ada keberanian untuk bertindak secara menyerang seperti yang dilakukan ke atas Afghanistan dan Iraq.

Apa yang penting, semua yang berlaku itu menunjukkan betapa sikap permusuhan mereka terhadap Islam dengan menghalang usaha bagi mengembalikan kuasa politik Islam dilakukan sepanjang zaman. Sehinggakan, mereka menolak kemenangan yang diperoleh melalui demokrasi secara damai yang menjadi keutamaan Islam, sekali gus menunjukkan kebenaran firman Allah SWT:

﴿…وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ…٢١٧﴾

“…Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sehingga mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agama kamu (dengan meninggalkan Islam), seandainya mereka sanggup…” (Surah al-Baqarah: 217)

Tujuannya ialah sama ada umat Islam murtad meninggalkan Islam sehingga semuanya boleh menganut apa sahaja agama selain daripada Islam, atau meninggalkan sebahagian daripada ajaran Islam. Khususnya, ajaran Islam mengenai politik memerintah negara yang dianggap akan mengembalikan semula kuasa Islam yang dituduh menjadi ancaman kepada mereka.

Mereka tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Islam yang diamalkan itu hanya dari aspek ibadat dalam semua lapangannya, undang-undang kekeluargaan dan kebajikan masyarakat tanpa kuasa politik dan ekonomi yang menjadi ancaman kepada mereka.

Oleh itu, semua perkara yang dapat mengembalikan semula kuasa Islam khususnya dalam aspek politik, ekonomi dan pendidikan teknologi pasti akan dihalang dengan berbagai-bagai cara dan helah walaupun Islam itu adil dan membawa keamanan.

Firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ…١٠٩﴾

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) dalam diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran…” (Surah al-Baqarah: 109)

Campur tangan terhadap krisis Sudan telah mendedahkan tujuan anti-Islamnya. Mereka memejamkan mata terhadap jenayah perang yang secara nyata berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq dan lain-lain negara.

Seterusnya, mereka melaksanakan strategi bagi menjaga keselamatan negara haram Israel, apabila kedudukan Sudan yang penting di Laut Merah dilihat menjadi pangkalan kepada semua bantuan kepada kalangan penentang Israel. Pada masa yang sama, Sudan juga menjadi tempat perlindungan kepada para pemimpin Palestin yang dilabelkan oleh Israel dan sekutunya dalam senarai pengganas seperti Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah.

Serangan Israel ke atas Port Sudan menunjukkan kebenaran alasan yang disebutkan di atas.

Justeru, langkah menjatuhkan kerajaan Omar al-Bashir dan tuduhan pengganas yang dilemparkan terhadapnya secara nyata menjadi alasan bagi menggulingkannya dengan sokongan negara Barat dan serantau yang pro-Israel, bersama langkah memaksa Sudan melakukan normalisasi dengan negara haram tersebut. Polisi yang dilakukan itu gagal kerana mendapat bantahan rakyat Sudan yang masih kuat pegangan Islamnya.

Setelah gagal mengambil alih kuasa sepenuhnya melalui rampasan kuasa yang pertama dan kegagalan tindakan penipuan politik selepasnya atas nama demokrasi bagi meminggirkan Islam, maka dilakukan rampasan kuasa kedua melalui tentera RSF. Langkah itu mendapat sokongan parti-parti sekular berhaluan kanan dan kiri, kerana pengaruh Islam yang kuat dalam angkatan tentera Sudan serta jentera kerajaan dan rakyat menyebabkan kegagalannya walaupun mendapat sokongan daripada negara serantau dan Barat bersama Israel.

Maka, mereka berpindah kepada langkah politik dengan alasan untuk menyelamatkan kalangan yang terperangkap dengan alasan gencatan senjata dan kemanusiaan kerana menjadi mangsa peperangan.

Walaupun persetujuan telah dicapai bagi peralihan kerajaan melalui pilihan raya, namun ia dicabuli kerana diramalkan kemenangan akan berpihak kepada kumpulan Islam. Lantas, rampasan kuasa diaturkan supaya dinafikan penyertaan kumpulan Islam.

Apa yang berlaku ini sekali gus menunjukkan bahawa sistem demokrasi mesti menyebelahi mereka sahaja tidak kepada Islam. Mereka boleh menerima apa sahaja ideologi yang tidak Islam, sama ada ideologi kanan yang paling liberal atau ideologi kiri yang paling ekstrem seperti parti komunis Sudan.

Setelah mereka menemui kegagalan, keadaan itu memaksa berlaku peperangan dengan pihak tentera yang lebih lengkap persenjataannya, tambahan lagi pihak luar yang bersekongkol gagal memberikan bantuan kerana semua jalan bantuan ditutup kerana telah dikuasai oleh tentera Sudan dan rakyat yang mendukungnya. Maka, dilakukan langkah menyelamatkan manusia melalui isu kemanusiaan kononnya ingin menyelamatkan warga asing dan membantu mangsa peperangan atau menentang pengganas.

Kelak, pihak Islam pula yang akan dituduh sebagai pengganas, mereka pula digelarkan sebagai kumpulan pendamai, pendukung kebebasan dan demokrasi yang menipu.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ١١٨ هَـٰٓأَنتُمْ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيْـًٔا ۗإِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang bukan daripada kalanganmu menjadi teman kepercayaanmu, (kerana) mereka tidak henti-henti akan berusaha (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu ingin memahaminya. (118) Awaslah kamu! Kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata ‘Kami beriman’, dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak akan mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” (Surah Ali ‘Imran: 118-120)

Laksana kata pepatah Arab:

ضَرَبَنِي وَبَكَى، ظَلَمَنِي وَاشْتَكَى.

“Dia yang memukulku, lalu dia pula yang menangis; dia yang menzalimiku, lalu dia pula yang mengadu.”

Kini, situasi menunjukkan pihak berkuasa tentera mengarahkan anggota polis bagi menjaga keamanan di kawasan yang telah dibebaskan, bank perdagangan pun dibuka semula dan rakyatnya sendiri dapat menguruskan mangsa peperangan di kawasan-kawasan yang aman.

Pihak tentera pula menerima gencatan senjata dan terus menyerang kawasan persembunyian pemberontak yang tidak mendapat sokongan rakyat. Pakar ketenteraan menyatakan peperangan tidak bersifat peperangan bandar sebagaimana yang dilaporkan oleh media, tetapi bersifat penentangan terhadap pemberontak yang terkepung dalam bandar serta terhalang mendapat bantuan dan bekalan. Dalam keadaan itu, tentera Sudan menggempur pangkalan musuh yang berselerak dalam keadaan berhati-hati bagi menyelamatkan rakyat yang terperangkap.

Benarlah firman Allah SWT:

﴿وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya mereka telah membuat makar (perancangan menipu) yang besar, padahal di sisi Allah itulah (balasan terhadap) makar mereka itu. Dan sesungguhnya, makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46) Kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” (Surah Ibrahim: 46-47)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 16 Syawwal 1444 / 7 Mei 2023