KUALA TERENGGANU – Pertemuan terakhir (Liqa’ Haraki) bagi sesi 2023 hingga 2025 menjadi bukti jelas kukuhnya peranan tiga entiti iaitu Ameerah, Briged dan Nusaibah (Gen3) sebagai sayap penting dalam memperkasakan gerak kerja Dewan Muslimat.
Pengarah Ameerah negeri Terengganu, Asma Abdullah berkata, program yang menghimpunkan pimpinan Ameerah dari pelbagai peringkat dari lapan kawasan ini turut menjadi medan mengeratkan ukhuwah dan menyuntik semangat baru dalam meneruskan perjuangan.
“Pertemuan mata ini sangat bermakna dalam mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim, sebagai satu wadah dan platform Gen3 yang terus subur berkembang.
“Kewujudan Gen3 adalah sayap penting dan utama kepada Dewan Muslimat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Liqa Haraki dan Jamuan di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, semalam.
Menurutnya, Terengganu antara yang terawal menubuhkan Gen3 di semua peringkat dari negeri hinggalah ke cawangan.
Katanya lagi, beliau turut merakamkan tahniah dan takziah kepada semua pimpinan serta Ketua Ameerah yang telah selesai melalui proses pemilihan dalam Mesyuarat Agung Kawasan baru-baru ini.
“Semoga kalian terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menggalas amanah ini dan meneruskan perjuangan dengan istiqamah.
“Tahniah juga kepada seluruh warga Gen3 yang telah berjaya melaksanakan amanah dengan cemerlang,” ujar beliau.
Walaupun dalam kepayahan mengurus pelbagai tanggungjawab, termasuk membesarkan anak-anak, mereka tetap komited menyumbang kepada perjuangan anak muda, satu usaha yang bukan mudah.
“Namun, berkat kefahaman, tarbiyyah, keyakinan dan tawakal kepada perancangan Allah SWT, kita masih teguh melangkah.
“Semoga kita semua terus istiqamah dalam perjuangan ini perjuangan yang kita bawa sebagai bekal untuk bertemu Allah SWT kelak,” tambah Asma lagi.