Oleh : Pyang Mamat
KEMAMAN – Gelombang rakyat untuk mempertahankan kemenangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) Terengganu kini bermula di selatan Darul Iman.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, YB Ustaz Che Alias Hamid berharap agar himpunan ini dapat menyemarak sehingga ke pilihan raya negeri (PRN) nanti.
“Saya mengharapkan agar Himpunan Teguh Pertahan (HTP) peringkat kawasan Kemaman ini menjadi satu momentum untuk kita berdepan dengan PRN yang akan diadakan pada bila-bila masa saja.
“Himpunan ini juga adalah satu perjumpaan para petugas, ahli dan penyokong PAS bagi memastikan kekuatan dan sokongan rakyat kepada PAS,” ucapnya.
Ahli Parlimen Kemaman itu berucap demikian di Majlis Ceramah Perasmian HTP Peringkat Kawasan Kemaman yang berlangsung di Padang Awam Binjai, Kemaman.
Program selama tiga hari iaitu pada 27 hingga 29 April mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat dengan pelbagai acara yang diadakan.
Menurutnya, PAS mendapat tempat dihati pengundi pada PRU15 lepas dengan memenangi ke semua DUN di Kemaman dan mengharapkan ianya dapat diteruskan pada PRN yang akan datang.
Katanya, dengan pelbagai kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang ini ianya dapat menambat hati rakyat untuk terus menyokong kerajaan yang ada.
“Oleh itu marilah kita terus bekerja dan meningkatkan kualiti kerja sekaligus dapat mempertahankan dan memenangi pilihanraya negeri yang akan datang ini,” ucapnya lagi.
Sebelum itu disebelah siangnya, pada program Konvoi Anak Muda HTP memperlihatkan lebih 500 buah motosikal mengiringi pimpinan PAS yang turut bersama menyertai konvoi tersebut bermula dari Masjid Kukuran, Kemasik hingga ke tapak program.