Oleh : Muhammad Abdul Fateh
Foto : Khadijah Humairah
WANGSA MAJU, 17 Jun 2025 – Suasana Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Wangsa Maju bertukar hangat apabila saf kepimpinan PAS Kawasan tampil menghargai jasa dan pengorbanan gerak kerja jemaah melalui penyampaian Anugerah Tokoh Jemaah kepada individu-individu terpilih.
Yang menarik perhatian, kehadiran YAB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, yang telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada para tokoh, menjadi simbol pengiktirafan tertinggi kepada jentera akar umbi.
Antara tokoh yang diraikan:
* Tokoh Kawasan: Haji Abdul Rahim @ Rahim Bin Sulaiman
* Tokoh Pemuda: Mus’ab bin Haji Zainal Abidin
* Tokoh Muslimat: Puan Hajah Zawiyah binti Mat Johor
* Tokoh Millennium: Aizat Amni bin Sabri dan Rhabiatul Adawiyah binti Dzulkifli
* Tokoh Hijrah: Abdul Ghani bin Abdullah
* Tokoh Khalid Al Walid: Ahmad Fariz bin Abdullah
* Tokoh As Sabiqun: Haji Razali bin Jaafar
* Tokoh Abdul Rahman bin Auf: Ustaz Nazri bin Chik
Namun kemuncak majlis adalah apabila diumumkan bahawa dua tokoh penerima anugerah – Abdul Ghani bin Abdullah dan Ahmad Fariz bin Abdullah – secara rasmi menyertai PAS, meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kehadiran mereka disambut dengan laungan takbir bergema di dewan sebagai simbol kebangkitan gelombang hijrah ke arah perjuangan Islam yang sebenar.
“Inilah bukti bahawa PAS bukan sahaja menarik sokongan rakyat biasa, malah bekas aktivis dan pemimpin dari parti lawan mula sedar dan berhijrah kepada perjuangan yang jelas dan berprinsip,” ujar Beyhaqi Ramli Ketua Pemuda PAS dengan penuh bersemangat.
Langkah ini menjadi isyarat jelas bahawa arus sokongan kepada PAS semakin kuat di Wangsa Maju, menjelang PRU-16. PAS dilihat semakin mantap dengan gerak kerja tersusun dan sokongan moral daripada tokoh-tokoh berpengalaman.
Wangsa Maju bakal menjadi kubu hijau seterusnya!