Home Berita PAS Terengganu

Gelandangan di Kuala Terengganu terima vaksin COVID-19

8
SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 September – Golongan gelandangan di sekitar daerah ini menerima suntikan vaksin semalam dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, hampir 20 gelandangan termasuk yang menghidap masalah mental telah disuntik dos pertama.

“Antara lokasi tumpuan adalah di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, Stesen Bas Tanjung dan Kuala Terengganu Waterfront di Jalan Bukit Balik.

“Pelaksanaan ini disambut baik melibatkan penyertaan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan seperti Kementerian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis, Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) serta Persatuan Komuniti Sosial Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi orang gelandangan di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, semalam.

Tambah Zuraida, inisiatif seumpama itu perlu diadakan secara berkala kerana masih ramai lagi golongan gelandangan yang belum disuntik kerana sukar dijejaki.

“Projek ini amat bagus dalam mencapai sasaran semua rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin termasuk golongan kurang bernasib baik,” katanya lagi.

Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed menjelaskan walaupun sasaran asal 14 orang namun pada malam itu pihaknya berjaya menyantuni 18 gelandangan.

“Insya-Allah akan diteruskan lagi kerana gelandangan negeri Terengganu berlainan dengan bandar besar kerana kebanyakkan mereka sudah mempunyai rumah sendiri.

“Walaupun jumlah sedikit, namun kerjasama baik bersama golongan sasar ini amat baik dalam menerima dos suntikan tanpa sebarang masalah,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan, selain orang gelandangan, usaha pemvaksinan di Terengganu turut melibatkan golongan sasar lain seperti penghuni Penjara Marang dan Orang Asli di sekitar negeri.