Home Berita PAS Terengganu

GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Marang merupakan yang pertama di Pantai Timur  bakal menjadi hub penting bagi perkhidmatan inovasi dan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sekali gus menarik para pelabur yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara tidak langsung GBS bakal menjadikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan yang akan dikenali dunia.

Menurutnya, pusat GBS akan  berperanan sebagai pusat kemudahan digital dan penrniagaan kepada rakyat memenuhi kehendak masa kini sekali gus bertepatan dengan visi kerajaan negeri di bawah Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu.

“Di bawah pelan ini, kerajaan negeri Terengganu membuat perancangan untuk jangka masa panjang bagi menjana pendapatan baharu dari sumber yang lebih pelbagai dan pembukaan pusat ini akan menyokong perancangan pelan tersebut.

“Selain dari meningkatkan kecekapan operasi syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu khususnya dan saya percaya potensi yang dimiliki oleh pusat GBS ini.

“Tengok kepada fasiliti, kemudahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak saya percaya ia akan muncul sebagai ‘centre’ yang sangat penting dan dikenali bukan sahaja dalam negara kita bahkan di seluruh dunia, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pusat GBS Pertama di Pantai Timur, Dewan Kristal Redang, KompleksTM Medah jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar para pelabur dan peniaga sama ada dari syarikat kecil atau syarikat besar di luar sana khususnya dari Terengganu akan menjadi faktor untuk negeri ini  menjadi salah satu destinasi perniagaan.

“Penubuhan pusat ini juga akan memastikan negeri kita mempunyai persekitaran kondusif untuk kejayaan mereka (pelabur dan peniaga).

“Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan melalui penubuhan GBS ini dan saya percaya syarikat-syarikat yang berada di bawah kerajaan negeri, di bawah GLC negeri akan berunding dan bebrincang dengan TM One untuk sama-sama kita mewujudkan kerjasama PINTAR.

“Mewujudkan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat dan juga membantu mengupayakan lagi TM One, insya-Allah,” jelasnya lagi.

 

Beliau turut merakamkan tahniah kepada pasukan TM yang diyakini ia merupakan salah satu kejayaan yang penting untuk syarikat terbabit.

“Saya percaya ia merupakan salah satu milestone yang penting kepada TM dan juga kepada daerah Marang dan juga negeri Terengganu secara khususnya,” ujarnya.