Home Berita PAS Perlis

Galakkan belia ceburi sukan kompetitif

168
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 1 Feb: Masyarakat disaran agar menggalakkan golongan belia agar menceburi acara-acara sukan yang kompetitif.

Menurut , Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd. Shukri Ramli, sukan sedemikian bukan sahaja membentuk generasi muda yang berdaya saing, tetapi juga sihat fizikal dan mental.

“Jangan lihat pada aspek kemenangan semata-mata, kerana acara sukan sebegini manfaatnya cukup besar khususnya dalam membina potensi serta jati diri golongan muda.

“Justeru, PAS akan sentiasa komited dalam membantu menjayakan apa jua aktiviti yang bersifat sedemikian bahkan kita mengajak semua pihak agar turut sama memberikan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kejohanan Kechor Cub Cross Challenge 2022 Tertutup Perlis anjuran Pemuda Kariah Nurul Hamim dan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Perlis yang berlangsung di Litar Kampung Kechor, di sini hari ini.

Lebih 90 orang peserta berentap dalam dua kategori pada kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah berupa piala, wang tunai dan hamper kepada para pemenang.

Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada NGO-NGO dan syarikat swasta yang turut sama terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

“Alhamdulillah, pelbagai pihak termasuk NGO-NGO dan pihak swasta tampil memberikan sokongan dalam membantu menjayakan kejohanan ini dan ini merupakan suatu perkembangan yang positif yang amat kita harapkan.

“Tahniah juga kepada Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis yang bertugas menjaga keselamatan dan lalulintas serta Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis melalui ARC Perlis yang turut menghantar sembilan orang peserta menyertai kejohanan ini di bawah team Wan Tune ARC.

“Kepada seluruh rakyat di negeri ini, jom sama-sama berikan sokongan dengan hadir beramai-ramai ke Kejohanan ini yang akan berlangsung sehingga lewat petang ini,” katanya.