Home Berita PAS Terengganu

Gaji Penjawat Awam : Terengganu tunggu pengumuman PM 16 Ogos

30
SHARE

KUALA TERENGGANU  – Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung semakan kenaikan kadar gaji penjawat awam di Terengganu yang akan diumumkan kerajaan Persekutuan pada 16 Ogos ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata setakat ini, tiada lagi perbincangan mengenai perkara tersebut (kenaikan gaji) bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Kita akan lihat pengumuman pada 16 Ogos nanti. Kalau berdasarkan sejarah dahulu pun apa diputuskan kerajaan pusat itu selalu kita ikut (kadar baharu kenaikan gaji).

“Selalu ikut selaras dengan pengumuman dibuat kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Menandatangani Perjanjian antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.

Pada 15 Julai lepas, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan.

Menerusi hantaran di laman X, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pengumuman khas itu diadakan menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketika ditanya mengenai implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri, Tengku Farok Hussin menyatakan seluruh negeri juga menerima impak tersebut.

“Negeri-negeri lain pun sama (implikasi kewangan) bukan Terengganu sahaja. Semua negeri yang bayar gaji penjawat awam turut menerima impak tersebut.

“Selain itu, kerajaan Persekutuan pun apabila umumkan kenaikan gaji ini, ia juga beri impak besar pada kerajaan pusat. Jadi begitu juga kerajaan negeri.Insya-Allah, kita tengok cara yang terbaik untuk kita laksanakannya,” ujarnya.