Home Fastaqim

Gagasan Sejahtera Wakili Suara Rakyat Malaysia

2429
SHARE

Gagasan Sejahtera Wakili Suara Rakyat Malaysia

Oleh: Asmaa Yusof

KUALA NERUS, 29 Sep – PAS menjangkakan satu momentum baru menjelang pilihan raya akan datang setelah Gagasan Sejahtera dipersetujui sebulat suara oleh NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat negara.

Demikian keyakinan yang disuarakan oleh, Ustaz Kamaruzzaman Mohamad dalam sesi temubual bersama NGO sempena Fastaqim 2.0 hari ini.

Menurut beliau, dua resolusi berjaya dipersetujui semasa Sidang Meja Bulat NGO sekaligus membuktikan PAS kini siap sedia berhadapan Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau menjelaskan, resolusi utama yang disepakati ialah membentuk satu jawatankuasa penyelaras NGO Islam bagi memainkan peranan untuk memastikan PRU berjalan dengan positif.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut menyatakan Gagasan Sejahtera kini mendapat sokongan padu dari semua NGO.

“Kami telah bersetuju membentuk satu jawatankuasa penyelaras NGO-NGO Islam untuk fokus kepada bagaimana NGO berperanan memastikan PRU 14 bergerak secara positif, yang turut mengambil kira kepentingan-kepentingan NGO yang ada”.

“Kami juga sebulat suara menyatakan sokongan terhadap PAS dan Gagasan Sejahtera terhadap segala prinsip dan halatuju yang digariskan,” ujar beliau penuh semangat.

Ustaz Kamaruzzaman semasa menjawab pertanyaan pihak media menjelaskan Gagasan Sejahtera merupakan pakatan politik yang menggabungkan parti politik, NGO-NGO serta tokoh-tokoh berpengaruh dalam masyarakat.

Meneruskan penjelasan, beliau menyatakan Gagasan Sejahtera akan mewajahkan blok politik baru di mana PAS merupakan parti tunjang entiti tersebut.

Sidang Meja Bulat NGO-NGO telah berlangsung di Kuala Terengganu Golf Resort pada jam 3 petang hari ini.