KUALA TERENGGANU – Kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus negara secara berkesan membuktikan beliau tidak lagi layak memimpin dan perlu turun serta segera berundur demi masa depan rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, semua kaedah demokrasi termasuk perbahasan di parlimen telah digunakan, namun tiada satu pun membawa perubahan yang signifikan terhadap dasar-dasar kerajaan yang membebankan rakyat.
“Kita dah bangkang dalam parlimen, berhujah panjang, beri pandangan tapi tidak ada kesan.
“Suara rakyat tidak didengar. Jadi, satu-satunya langkah yang tinggal ialah rakyat perlu mendesak beliau undur,” katanya dalam ceramah Pra-Himpunan ‘Turun Anwar’ di Kuala Nerus pada Sabtu.
Menurut beliau, rakyat kini perlu menggunakan kaedah yang pernah dipelopori Anwar sendiri ketika menjadi pembangkang suatu masa dahulu, iaitu turun ke jalan raya secara aman untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan.
“Dulu dia ajar rakyat himpun tuntut Perdana Menteri letak jawatan, hari ini kita guna semula apa yang dia ajar. Gunakan himpunan untuk pastikan dia sendiri berundur,” ujarnya tegas.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata pentadbiran Anwar tidak memperlihatkan sebarang keberkesanan, malah rakyat terus dihimpit dengan pelbagai beban hidup yang semakin meningkat dari hari ke hari.
“Rakyat di Terengganu contohnya, terpaksa pergi menghadap dan merayu setiap bulan semata-mata untuk mendapatkan hak mereka. Ini sangat memalukan dan mencerminkan kelemahan pentadbiran hari ini,” katanya.
Beliau juga mengkritik tindakan kerajaan menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta menambah senarai barangan bercukai termasuk makanan import seperti beras dan sayur, yang sebelum ini tidak dikenakan cukai.
“Dulu masa BN, hanya tiga peratus barangan dikenakan cukai. Hari ini, Anwar naikkan sehingga 97 peratus. Semuanya dikenakan cukai sedangkan dulu dia sendiri bantah GST,” ujarnya.
Dr Alias turut menempelak kepimpinan kerajaan yang dilihat hanya pandai beretorik tetapi gagal menyelami denyut nadi rakyat serta menyelesaikan masalah asas seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kestabilan ekonomi.
“Cukup-cukuplah. Rakyat tidak perlu terus dibelenggu kegagalan pemimpin yang hanya pandai berucap. Kita perlu Perdana Menteri yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” jelas beliau.