Home Artikel PAS Pulau Pinang

Forum Cinta Rasul Hidupkan Roh Perjuangan Baginda

66 views
SHARE

Oleh: UMMU AL FATEH

PENAGA: Suasana malam pada awal cuti persekolahan tidak menghalang masyarakat Penaga untuk membawa bersama ahli keluarga mereka bagi mendengar ADUN mereka daripada PAS iaitu Ustaz Yusni Mat Piah, berforum pada 25 November yang lalu.

Bertempat di Surau Kampung Baru, forum sempena Maulidur Rasul anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Kepala Batas kali ini menampilkan seorang lagi ahli panel dari tokoh pendakwah iaitu Sheikh Zaini Hj Ahmad dengan moderator Ustazah Siti Mastura Muhammad.

Ustaz Yusni telah menekankan kepentingan kita mengenali nabi kerana dari situ barulah akan timbul rasa cinta, kasih dan sayang kepada baginda Rasulullah SAW.

“Kita ingat tarikh lahir ahli keluarga kita. Lebih dari itu kita mesti ingat tarikh kelahiran nabi kerana dengan kelahiran bagindalah telah membawa rahmat ke seluruh alam,”

“Kita juga tidak boleh mendakwa kita beriman selagi kita tidak meletakkan cinta kita kepada Rasulullah SAW melebihi segalanya,” jelas beliau lagi.

Sementara Sheikh Zaini pula menceritakan keadaan Rasulullah yang bertubi-tubi menerima tekanan daripada musuh namun beliau tidak pernah berhenti merayu kepada Allah SWT.

“Kita kena ikut rapat-rapat akhlak baginda Rasulullah SAW seperti rangkaian biji tasbih maka dengan itu akan menjadi asbab orang tertarik kepada kita dengan Islam,” terang Sheikh Zaini.

Beliau turut berkongsi beberapa kelebihan berselawat iaitu segala musibah akan diangkat oleh Allah SWT, kita akan diberi kebahagiaan dan segala hajat kita akan dimaqbulkan.

Muslimin dan muslimat yang hadir telah berkesempatan berselawat beramai-ramai bersama dengan kumpulan qasidah jemputan daripada para pelajar Maahad Madinatul Ilmi Wattarbiyyah, Titi Mukim.

Pada penghujung program, turut diadakan cabutan bertuah kepada semua yang hadir. Penyampaian hadiah cabutan bertuah telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kepala Batas, Ustazah Hasanah Idrus.