BESUT – Kerjasama antara dua pihak penting bagi menjayakan program yang berfokuskan pembangunan dan perancangan wanita serta keluarga di negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, hubungan antara Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dan portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu amat penting bagi kaum wanita negeri ini.
“Kita perlu merancang pembangunan untuk wanita dan keluarga di Terengganu, contohnya macam mana nak jadikan wanita Terengganu wanita berilmu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program merasmikan Program Seminar Urus Tadbir Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) di Manor Beach, pada semalam.
Menurut Zuraida, setiap agenda di bawah portfolio hendaklah dipastikan agar berjalan dengan baik.
“Bawah kita ada golongan bukan islam, jadi kita harus cari jalan terbaik untuk memastikan wanita Terengganu terus maju,” ujarnya.
Selain itu jelasnya, peranan utama portfolio ialah bertanggungjawab menjayakan Terengganu sebagai negeri berkebajikan.
“Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebut kita mesti adil, prihatin dan berkebajikan dalam setiap gerak kerja kita,” jelasnya.