Home Berita PAS Terengganu

Fokus peluang kerja bagi elak ‘Brain Drain’

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memfokuskan dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dalam semua bidang berdasarkan tawaran kerja yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk menggelakkan ‘Brain Drain’ daripada berlaku di Terengganu.

Katanya, beliau memahami fenomena tersebut yang melibatkan pengaliran keluar tenaga profesional dan berkemahiran tinggi ke luar Terengganu disebabkan mereka lebih tertarik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi dan pengalaman kerja yang lebih luas di bandar-bandar besar.

“Melalui Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) kerajaan sedang memperkemaskan kolaborasi bagi melihat perkara ini.

“Usaha pemadanan pekerjaan secara bersasar sedang dijalankan melalui maklumat yang dibekalkan oleh agensi seperti PERKESO melalui portal MyFuture Jobs dimana kemahiran pencari kerja akan dipadankan dengan tawaran kerja aktif yang ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, promosi peluang kerja ini disampaikan melalui program kerjaya yang diadakan dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, setakat ini belum ada program khusus bagi menangani masalah “brain drain” secara terperinci. memandangkan fokus pasca Covid lebih menumpukan kepada mendapatkan penempatan kerja bagi semua rakyat tanpa mengira kelulusan.

“Namun, dengan pembangunan teknik bersasar yang sedang dijalankan ini diharap dapat membantu pemadanan pekerja berkemahiran tinggi dengan lebih baik,” katanya.