Home Berita PAS Terengganu

Fokus Bangunkan Zon PKS Baharu

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkasakan pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menumpukan kepada pelaksanaan zon perindustrian baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan dibangunkan melalui perancangan teratur dan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

“Antara langkah utama ialah penetapan kawasan berpotensi sebagai pusat PKS menerusi Rancangan Tempatan Daerah yang dirancang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

“Pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) adalah secara ‘Public Private Pannership’ (PPP) yang melibatkan pembangunan secara kebaikan bersama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, antara keutamaan lain ialah usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan jalur lebar bagi menarik lebih ramai usahawan muda untuk terlibat secara aktif dalam sektor ini.

“Setakat Mac 2025, sebanyak 145 unit premis telah disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang meliputi kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Inkubator Industri Desa (IID) serta ruang niaga, melibatkan seramai 126 usahawan PKS di seluruh negeri,” ujarnya.

Beliau menambah, YPU juga menyediakan kemudahan pembiayaan mesra usahawan melalui Skim Pembiayaan Tanpa Riba (TUGAS), yang memberikan keutamaan kepada penyewa premis YPU, khususnya golongan muda.

“Antara skim yang ditawarkan termasuk Skim Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) dan Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu (T’CAP),” tambah beliau lagi.