KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri perlu memberi lebih penekanan kepada beberapa perkara memandangkan pertanian dan industri asas tani merupakan antara sektor terpenting di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk mengemaskini segala data yang melibatkan tanah-tanah berpotensi dan terbiar.
“Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan kaedah dan wang pembiayaan ataupun dana kepada para petani dan penternak dan juga nelayan.
“Selain memberi pendedahan ataupun pengetahuan yang perlu kepada mereka yang menceburi bidang tersebut, pemantauan dari semasa ke semasa serta memberi khidmat bantuan yang diperlukan untuk memasarkan hasil-hasil mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, beliau yakin pihak kerajaan telah melaksanakan sebahagian besar daripada perkara berkenaan namun pihaknya berharap kerajaan terus berusaha bersungguh- sungguh untuk mencapai apa yang disasarkan.
“Tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya melonjakkan pertubuhan sebanyak 7.4 peratus pada tahun 2023 setelah mengalami kemerosotan 4.7 peratus pada 2022.
“Kita yakin bahawa lonjakkan ini hasil daripada perancangan dan juga pelaksanaan yang teliti dan berkesan.
“Pun begitu, terdapat masih banyak peluang yang ada yang boleh dimanipulasikan oleh pihak kerajaan untuk memaksimakan hasil pertanian, perikanan dang perternakan,” ujarnya.