Home Berita PAS Sabah

FIQH SIRAH : NABI MENOLAK HABUAN (TAJAAN) DUNIA DEMI UGAMA YANG TERCINTA

24
SHARE

Malam ini membahaskan satu tajuk menarik. Kisahnya berlaku apabila salah seorang pembesar Quraisy ‘Utbah bin Rabiah yang berpandangan jauh dan bijak memberikan cadangan dalam perkumpulan pemimpin Quraisy di kelab mereka untuk menawarkan Rasulullah dengan habuan dunia dengan hasrat tidak terancam lagi dengan agama baru yang Nabi Muhammad bawa.

Mereka sebulat suara bersetuju dengan cadangan menarik itu. Maka atas seruan dari kumpulan Quraisy agar segera bertemu Rasulullah, ‘Utbah pun bergerak tanpa memikir panjang.

Tidak berapa lama, maka sampailah ‘Utbah di rumah Rasulullah dan Rasulullah persilakan masuk. Dia tetap dilayan dengan baik sebagai tetamu walaupun dia penentang dakwah Rasulullah. Lalu Rasulullah memberikan ruang dia meluahkan hajat atas perjumpaan ini. Dia pun berkata :

“Muhammad, jika tujuan kamu membawa ugama baru ini kerana ingin mengumpul kekayaan, kami akan kumpulkan harta kami untuk kamu sehingga kamu lebih kaya dari kami, sekiranya kamu bermaksud untuk menjadi penguasa, kami akan tabalkan kamu sebagai raja”

Rasulullah SAW membalas, kamu sudah habis berkata? ‘Utbah berkata “Ya”. Nabi berkata kalau demikian dengar pula dariku. Kemudian Rasulullah membaca ayat Allah dalam surah Fussilat 1 – 6 :

_Haa, Miim Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain)_

‘Utbah mendengar penjelasan Rasulullah dengan diam seribu bahasa. Lalu Baginda SAW menyambung ayat Allah dalam surah Fussilat ayat 13 :

{ فَإِنۡ أَعۡرَضُواْ فَقُلۡ أَنذَرۡتُكُمۡ صَٰعِقَةٗ مِّثۡلَ صَٰعِقَةِ عَادٖ وَثَمُودَ }

[ سُورَةُ فُصِّلَتۡ: ١٣ ]

“Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): “Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud”

Apabila mendengar ayat itu, ‘Utbah terkejut dan tergesa-gesa menutup mulut Rasulullah dengan tangannya kerana takut akan ayat berbunyi ugutan dari Allah. Maka beredarlah dia dalam keadaan sugul kerana tawaran dunia itu dibalas dengan ancaman Allah. Rasulullah SAW menolak keras pelawaan keduniaan dari ‘Utbah dan terus istiqomah dengan dakwah Baginda SAW.

Abu Maryam Safiyah
Masjid An Nur, Kg Getah Kunak
30 September (Kuliah Maghrib)