KUALA TERENGGANU – Festival Kahwin Mendonia 2025 bukan sekadar pameran perkahwinan seperti kebiasaannya, sebaliknya berperanan sebagai platform pendidikan penting dalam membantu masyarakat khususnya golongan muda merancang kehidupan rumah tangga dengan lebih tersusun, berhemah dan mampu milik.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, festival tersebut memberi penekanan kepada aspek pengurusan kewangan, pemilihan pakej bajet serta perkhidmatan vendor yang mesra poket, agar bakal pengantin tidak terjerumus dalam belanja melebihi kemampuan.
“Apa yang ingin saya tekankan, festival ini bukan hanya ruang pameran tetapi medan menimba ilmu – khususnya berkaitan pengurusan perkahwinan.
“Kita mahu bantu anak-anak muda merancang majlis dengan baik, elak berbelanja berlebihan, dan pada masa sama memastikan mereka bersedia dari sudut ilmu dan tanggungjawab sebelum melangkah ke alam rumah tangga,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Festival Kahwin Mendonia 2025 di Ombak Payang, Mayang Mall, semalam.
Zuraida menambah, festival itu menghimpunkan pelbagai penyedia perkhidmatan perkahwinan seperti pelamin, katering, kad jemputan, pakej bulan madu dan khidmat guaman, menjadikannya sebagai ‘one-stop centre’ lengkap untuk keperluan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
“Bagi saya, ini satu inisiatif yang sangat bagus dan perlu diteruskan sebagai agenda tahunan. Namun, perlu ada perancangan lebih kemas bagaimana kita nak menarik lebih ramai komuniti dan penduduk setempat hadir ke sini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, program keagamaan atau forum kekeluargaan yang turut berlangsung pada petang itu merupakan satu lagi nilai tambah penting kepada festival berkenaan.
“Ia bukan sekadar lawatan ke reruai pameran, tetapi juga medan percambahan ilmu berkaitan perkahwinan dan pengurusan keluarga.
“Ini amat penting kerana institusi perkahwinan hari ini semakin rapuh. Jadi, festival ini memberi manfaat berganda kepada pengunjung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar penganjuran festival seumpama ini diperluaskan kepada komuniti luar bandar melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), agensi pembangunan wanita dan keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Kita boleh perbanyakkan lagi klinik guaman, seminar kekeluargaan, kaunseling dan pengurusan kewangan. Ia boleh dijadikan kesinambungan kepada program akan datang supaya masyarakat dapat lebih banyak ilmu yang relevan dan berguna,” katanya.
Tambah beliau, festival itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pasangan bakal pengantin, tetapi juga membuka peluang kepada para usahawan tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka.
“Impaknya, saya mahu perkahwinan dirancang dengan baik, teliti dan berhemah dari segi perbelanjaan.
“Dalam masa yang sama, kita bantu vendor memperkenalkan produk mereka dan membangunkan keusahawanan, inilah sumbangan kita kepada pemerkasaan ekonomi komuniti hari ini,” tambah Zuraida.