Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Membaca serangan Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin PH lewat isu takfir terhadap PAS seolah membawa kami generasi berumur 40an dan 50an melewati kembali terowong masa zaman pemerintahan sebagai Perdana Menteri yang keempat Malaysia. Era diktator yang akan menghumban penentang-penentang politik kerajaan BN ke dalam jeriji besi ISA serta pesaing-pesaing politik Tun dalam UMNO terhumban keluar daripada persaingan merebut pengaruh ahli UMNO. Itulah kahak sejarah yang ditelan oleh TS Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, manakala PAS sebagai parti politik yang paling menderita dizaman Tun Mahathir.
Manakala jika keluar daripada mulut pemimpin PAN isu ini, maka fahamilah mereka kelompok penyondor baiah yang sedang mabuk kepeningan , dikutuki langit dan bumi serta mencari nafas untuk terus mengekalkan kerusi anggota legislatif mereka. Mereka semasa dalam bahtera PAS mengelak daripada ditarbiah oleh alim ulama kerana ” besar kepala” menyangka mereka golongan profesional yang sok tahu segala, menunggang PAS hanya untuk kuasa dan mendaki harkat sosial!.
Naratif Tun Mahathir terhadap PAS tidak pernah berubah, api kebencian yang terus menyala dan mungkin dibawa sehingga mati. Setelah gagal melaksanakan janji manifesto PH dengan erti kata lain ,menipu jutaan pengundi dengan memanipulasi kelemahan kerajaan BN maka Tun berlabun tentang mengapa beliau menentang PAS. PAS bagi Tun adalah pemecah belah orang Melayu dengan isu-isu agama, PAS mengkafirkan Tun!. Bijak Tun mengalih perhatian massa sebelum PRU 15, cuba mencipta krisis agar namanya dijulang balik kerana obsesi kuasa.( Tun khabarnya masih minat dicalonkan sebagai PM kali ketiga!)
Tun Mahathir buat-buat lupa bagaimana ucapan-ucapan Tun sendiri dalam dekad 80an dan 90an , sinis bahkan melampaui batas terhadap Syariah, mempertikaikan periwayat hadith dan pelbagai koleksi ucapan meremehkan Islam. Tun jangan lupa permusuhan Tun pada agamawan sehingga dipecat Mufti Selangor, Dato Ishak Baharom, dikucilkan tokoh-tokoh agama seperti Dato Dr Haron Din. Apa yang Tun lakukan pada sekolah-sekolah agama rakyat?, tindakan Tun memencilkan Kelantan yang dipimpin oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. kami generasi yang diperintah oleh Tun selama 22 tahun tak akan lupa sejarah hitam ini. PAS mengkafirkan Tun dan orang Islam kata Tun dalam tulisan sampahnya itu, ironisnya apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau diseluruh negara. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah. Para asatizah seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengajar bab batas-batas iman dan kufur, perkara-perkara yang membatalkan syahadah kerana masyarakat Melayu tipikal hanya biasa mendengar perkara membatalkan solat dan puasa. Kejahilan itulah yang membuka ruang keberanian mereka untuk bercakap mengenai hukum agama tanpa batasan, bahkan kepada kelompok elit seperti Tun sendiri.
Isu menjaga batas-batas iman ini juga telah digunakan sebagai senjata politik dan dimanipulasi oleh Tun Mahathir untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum. Mahathir dan avatar politiknya mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman takfiri dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain. Dalam program BTN sebelum ini,tanpa berselindung PAS dituduh sebagai kelompok khawarij, proses indoktrinisasi ini untuk menjauhkan masyarakat daripada PAS dan menjadi arca kebencian massa.
Di tanahair kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1980an, kerana UMNO dizaman Mahathir telah mempolitikkan isu ini dengan semaksima mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Kebangkitan Islam yang sedang melanda tanahair,maka PAS akan mendapat laba yang besar maka usaha menjauhkan PAS daripada masyarakat umum terpaksa dilakukan. Walhal PAS berusaha memahamkan masyarakat tentang akidah dan garis sempadan , antaranya tokoh PAS telah menerbitkan kitab “Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah” karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah dalam tahun 50an.Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah.
Dalam usaha regim Mahathir mengekang PAS dalam dekad 80an, Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Kononnya berlaku gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan Mahathir dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz Mohammad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2 . Almarhum Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut UMNO. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama UMNO yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis .
Tuduh-menuduh antara PAS-UMNO, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka dizaman Mahathir berkuasa, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya.
Debat bertajuk “PAS mengkafirkan UMNO” yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh regim Mahathir takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh untuk masyarakat membenci PAS, bahkan inilah naratif yang diulang kembali oleh Tun Mahathir sehari dua ini.
Menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal samada dengan iktikad, lisan atau perbuatan. Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah.
Penulis merasa agak bersimpati dengan tikaman terbaru Perdana Menteri ketujuh yang masih terjebak dalam lumpur falasi dan tuduhan Perdana Menteri keempat yang menyebut bahawa PAS kini parti kafir. Disambung oleh pemimpin -pemimpin PAN yang mandol tahap intelektual mereka. PAS tetap istiqomah memberikan ilmu akidah kepada rakyat sehinggalah hari kiamat kerana ini adalah sebahagian obligasi teras sebagai sebuah gerakan Islam. Membimbing rakyat mengenali Islam dan syariatNya, juga menjadi jurubicara kepada ummah dan membentenginya daripada terjahan aqidah yang sesat.
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)