Home Berita PAS Terengganu

Felda-FGV Berdepan Tuntutan Ganti Rugi 40 Tahun, Dikenakan Kompaun

4
SHARE

SETIU – Kerajaan Negeri Terengganu akan mengemukakan tiga bentuk tindakan undang-undang serentak terhadap FGV selepas syarikat itu didakwa gagal menyelesaikan isu penggunaan tanah kerajaan selama lebih 40 tahun, termasuk tuntutan ganti rugi besar.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata selepas notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara diserahkan hari ini, FGV bakal berdepan tiga tindakan.

“Selepas notis ini, pihak terlibat diberi tiga hari untuk remedi dengan mengeluarkan aset-aset mereka. Selepas itu, proses sitaan akan bermula dan apa yang disita akan menjadi milik negeri.”Dan kita akan mulakan tindakan kompaun kerana menceroboh tanah kerajaan dan kita juga akan mengemukakan saman sivil untuk menuntut kerugian negeri dalam tempoh lebih kurang 40 tahun lepas.

“Serta prosedur jenayah kerana bawah Kanun Tanah Negara Seksyen 425 ini ialah kesalahan jenayah. Dia bukan kesalahan sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui menjalankan operasi Penguatkuasaan Pencerobohan Tanah Kerajaan Negeri di daerah Setiu, di sini, hari ini.Dr. Azman turut menjelaskan bahawa notis akan dihantar kepada semua ahli Lembaga Pengarah FGV susulan daripada operasi tersebut.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa negeri telah memberi ruang perundingan secukupnya termasuk tempoh 40 hari yang dipersetujui bersama, namun FGV gagal memberikan maklum balas atau menyatakan penyelesaian.

“Ruang perbincangan ada had. Mereka terus berpusing pada isu sama, berdolak-dalik dan bahkan mengancam kerajaan negeri,” tambahnya.

Menurutnya lagi, lebih 150 orang anggota penguatkuasa terdiri daripada Pejabat Tanah Daerah, PDRM Dan beberapa Jabatan lain yang telah terlibat di dalam operasi penguatkuasaan serentak di enam daerah dalam negeri itu tadi.Kerajaan negeri kini bergerak ke fasa tindakan penuh selepas pelbagai cara damai telah digunakan sepanjang tempoh rundingan ini.