KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) dalam kenyataan bersama hari ini mengakui bahawa segala urusan tanah, termasuk kawasan ladang di Terengganu, adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang sedia ada.
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut menyatakan bahawa agensi berkenaan ‘tertekan’ dengan notis amaran yang dikeluarkan, kerana tempoh masa yang singkat, meskipun sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa Felda dan FGV telah berbincang dengan Kerajaan Negeri sejak 2018.
“Walaupun Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah, namun notis-notis amaran yang dikeluarkan yang memberikan tempoh tiga hari untuk FELDA dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman merupakan tempoh yang amat ketat, menekan dan sangat terhad, singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan tersebut merujuk tindakan tegas Kerajaan Negeri menerusi notis amaran pendudukan secara tidak sah yang dikeluarkan pada 30 November serta 1 dan 2 Disember 2025 terhadap beberapa kawasan di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman, termasuk ladang milik FELDA dan FGV.
Notis itu dikeluarkan selepas Felda tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan hasil oleh Kerajaan Terengganu.
Menurut rekod, lebih 40 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri tanpa Kerajaan Negeri sebagai tuan tanah menerima hak yang sewajarnya, termasuk bayaran premium dan cukai tanah.
Mengulas lanjut, FELDA dan FGV memaklumkan bahawa mereka ‘mengambil serius’ notis itu.
FELDA turut menjelaskan bahawa mereka mempunyai asas operasi berpandukan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530] dan Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474], namun menegaskan bahawa pelaksanaannya sentiasa tertakluk kepada keputusan dan bidang kuasa kerajaan negeri.
Bagi memastikan ketepatan rekod, FELDA dan FGV berkata, pihaknya kini menjalankan semakan menyeluruh melibatkan sejarah tanah, rekod pembayaran, premium, status hak milik, syarat pembangunan serta audit tanah yang komprehensif.
Ujar kenyataan itu, semakan itu turut merangkumi verifikasi bersama pihak berkuasa negeri.
“FELDA dan FGV akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, FELDA dan FGV kini sedang meneliti implikasi undang-undang dan ‘akan mengambil semua langkah perlu’.
Tambah FELDA dan FGV,mereka yakin bahawa penyelesaian terbaik akan dicapai melalui kerjasama serta proses undang-undang yang teratur.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengeluarkan notis amaran kepada pengurusan Felda selepas usaha rundingan mengenai hasil yang diusahakan di atas tanah milik Kerajaan Terengganu sejak 2018 tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada agensi tersebut.
Dr. Azman pada 11 November lalu memaklumkan bahawa Terengganu dan Felda telah bersetuju untuk menyelesaikan isu berkenaan sebelum 29 November.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri sebelum ini menawarkan perbincangan tuntutan hasil sejak April 2024, namun Felda masih belum mengemukakan sebarang angka cadangan.
“Beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Sabah telah menerima bayaran. Justeru, kita menuntut hak sama rata. Kerajaan negeri hanya menumpukan kepada penyelesaian melalui perkongsian keuntungan tanpa menjejaskan hak peneroka,” katanya.





