Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Fatwa Bukan Keputusan Pentadbiran Biasa, Perlu Diperkasakan Dengan Tindakan Tegas Semua

0
SHARE

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Wilayah Persekutuan memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung permohonan mencabar kesahihan fatwa Jabatan Mufti Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

PAS Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa:

Fatwa adalah Hukum Syariah, bukannya keputusan pentadbiran biasa. Ia dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang sah berdasarkan kaedah dan disiplin ilmu Islam yang mendalam, dan mempunyai kekuatan sebagai sumber hukum kepada umat Islam di negeri berkenaan.

Kami menzahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang keputusan ini yang dilihat boleh menghakis kuasa institusi agama Islam, termasuk Majlis Agama dan Jabatan Mufti Negeri-negeri dalam mengawal aliran pemikiran yang menyeleweng daripada syariat Islam. Oleh itu, kami menyokong penuh tindakan MAIS mempertahankan fatwa ini.

Kami menegaskan bahawa usaha menolak atau mempersoalkan fatwa melalui mahkamah sivil adalah suatu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan boleh membawa kepada kekeliruan serta penyebaran ideologi liberal yang merosakkan akidah umat Islam.

PAS Wilayah Persekutuan menyeru umat Islam agar tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, berasaskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas, serta tidak terpedaya dengan agenda halus yang cuba menggugat kesucian agama Islam melalui saluran undang-undang sivil.

Kami juga mengharap semua pihak mengambil berat dengan kekecewaan dan dukacita yang dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor berikutan insiden ini. Kami juga menggesa Majlis Raja-Raja Melayu, sebagai penaung tertinggi hal ehwal Islam di negara ini, untuk memantau dan menilai implikasi keputusan ini dengan serius agar institusi agama Islam kekal dihormati dan dipertahankan.

“Islam Adalah Penyelesaian”

USTAZ HAJI AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
PAS Wilayah Persekutuan