Home Minda Presiden

Fathu Makkah dan Suluh Hudaibiyyah

196
SHARE

Minda Presiden PAS [Bil: 26 / 2023]
FATHU MAKKAH DAN SULUH HUDAIBIYYAH


Antara peristiwa yang berlaku dalam Ramadan ialah Fathu Makkah (Makkah dibebaskan daripada jahiliah), peristiwa yang sangat berkait rapat dengan Sulh al-Hudaibiyyah (Perdamaian Hudaibiyyah) yang berlaku sebelumnya. Dengan kejayaan membuka Kota Makkah, maka bumi suci itu bertukar menjadi wilayah negara Islam dan bebas daripada pemerintahan jahiliah.

Peristiwa itu menjadi contoh suatu tindakan politik dan memperlihatkan kebijaksanaan, berpandukan petunjuk wahyu kepada Rasulullah SAW yang menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Fathu Makkah tidak berlaku dalam sekelip mata, walaupun adanya isyarat wahyu kemenangan terlebih dahulu daripada Allah SWT:

﴿لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡيَا بِٱلۡحَقِّۖ لَتَدۡخُلُنَّ ٱلۡمَسۡجِدَ ٱلۡحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمۡ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَۖ فَعَلِمَ مَا لَمۡ تَعۡلَمُواْ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتۡحٗا قَرِيبًا٢٧ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدٗا٢٨﴾

“Sesungguhnya, Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya secara pasti, (iaitu) bahawa sesungguhnya, kamu pasti akan memasuki Masjid al-Haram, insya-Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka, Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan dengan itu kemenangan yang dekat. (27) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak (Islam), agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama (dan ajaran yang lain). Dan cukuplah Allah sebagai saksi. (28)” (Surah al-Fath: 27–28)

Rasulullah SAW dan para sahabat terus berangkat ke Makkah seramai 1,400 orang bagi menunaikan umrah sambil berpakaian ihram dengan rasa gembira dan aman. Hal ini demikian kerana, menjadi adat dan peraturan semenjak dahulu bahawa keamanan diberikan kepada sesiapa sahaja untuk memasuki Makkah tanpa gangguan.

Tiba-tiba, mereka dihalang oleh bala tentera Musyrikin yang lengkap bersenjata. ‘Uthman RA yang diutus untuk berunding ditahan pula, sehingga Rasulullah SAW dan para sahabatnya berbaiah untuk menyerang Makkah bagi membela ‘Uthman RA. Lalu pihak musuh menghantar utusan untuk berdamai.

Islam mendahulukan perdamaian dengan perintah Allah SWT yang berfirman:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi Pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62)” (Surah al-Anfal: 61–62)

Maka, berlakulah Perjanjian Damai Hudaibiyyah yang terkenal pada bulan Zulqa‘dah tahun keenam Hijrah. Antara kandungannya adalah seperti berikut:

  1. Mereka (Quraisy Makkah) menolak penggunaan ‘بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم’ (Bismillah al-Rahman al-Rahim) dengan ditukar kepada ‘باسمك اللهم’ (Bismika Allahumma).
  2. Mereka menukar perkataan ‘Muhammad Rasulullah’ dengan ‘Muhammad bin ‘Abdillah’.
  3. Penganut Islam di Makkah yang berhijrah ke Madinah hendaklah dihantar pulang ke Makkah, sebaliknya mereka yang murtad dan melarikan diri ke Makkah tidak perlu dihantar pulang ke Madinah.
  4. Tempoh perdamaian adalah selama 10 tahun.
  5. Mana-mana kabilah boleh bergabung dengan mana-mana pihak.

Perjanjian tersebut sepenuhnya ditetapkan oleh musuh dan nyata berat sebelah. Pada zahirnya ia tampak berpihak kepada musuh, namun Rasulullah SAW yang tajam pandangannya menerima perjanjian yang dimeteraikan itu. Sebaliknya, para sahabat yang tidak faham dan tidak berpandangan jauh merasa keberatan untuk menerimanya.

Tiba-tiba, Allah SWT menurunkan wahyu dengan berfirman:

﴿وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ فَإِنۡ أُحۡصِرۡتُمۡ فَمَا ٱسۡتَيۡسَرَ مِنَ ٱلۡهَدۡيِۖ وَلَا تَحۡلِقُواْ رُءُوسَكُمۡ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡهَدۡيُ مَحِلَّهُۥۚ … ١٩٦﴾

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sebab-sebab yang lain), maka (sembelihlah) korban yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya…” (Surah al-Baqarah: 196)

Hukum terhadap sesiapa yang dihalang ketika haji dan umrah adalah dengan bertahalul (menyembelih binatang ternakan dan membuang rambut).

Rasulullah SAW menerima semua syarat perjanjian tersebut kerana melihat sudut pandang politik, iaitu pemberian pengiktirafan oleh masyarakat umum termasuk bukan Islam kepada negara yang ditegakkan di Madinah. Hal ini bermakna, perjanjian tersebut memberikan kemenangan politik kepada Madinah menjadi sebuah negara yang berdaulat. Kepercayaan Baginda bahawa pihak musuh pasti tidak akan setia kepada perjanjian yang akan membuka jalan membebaskan Makkah pada masa hadapan.

Akhirnya, para sahabat yang taat dan wala’ (setia) kepada Rasulullah SAW menerima perjanjian yang sebegitu rupa dengan penuh perasaan berat dan seakan menyerah kalah sehingga umrah terpaksa ditangguhkan. Namun, mereka meletakkan taat dan wala’ itu mengatasi segala kepentingan yang lain dalam perjuangan Islam.

Ternyata selang dua tahun yang berikutnya, pihak musuh mengkhianati perjanjian damai yang dimeteraikan apabila mereka membantu rakan mereka daripada kalangan kabilah Bani Bakar menyerang Bani Khuza‘ah. Sebahagian daripada Bani Khuza‘ah telah memeluk Islam dan ada sebahagiannya yang belum memeluk Islam. Mereka bersama blok kerajaan Islam kerana hubungan baik sejak zaman nenek moyang dengan keluarga Rasulullah SAW, manakala Bani Bakar pula dalam blok Quraisy (Musyrikin).

Dalam perjalanan pulang umat Islam ke Madinah, Allah SWT mewahyukan Surah al-Fath dengan firman-Nya:

﴿إِنَّا فَتَحۡنَا لَكَ فَتۡحٗا مُّبِينٗا١ لِّيَغۡفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنۢبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعۡمَتَهُۥ عَلَيۡكَ وَيَهۡدِيَكَ صِرَٰطٗا مُّسۡتَقِيمٗا٢ وَيَنصُرَكَ ٱللَّهُ نَصۡرًا عَزِيزًا٣﴾

“Sesungguhnya, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. (1) Supaya Allah memberikan keampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan ni‘mat-Nya atasmu dan memimpinmu kepada jalan yang lurus. (2) Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak). (3)” (Surah al-Fath: 1–3)

Allah SWT menyatakan bahawa perjanjian itu ialah kemenangan besar yang dijanjikan dengan benar daripada-Nya. Terbukti selepas beberapa tahun Perjanjian Hudaibiyyah, ternyata menjadi sebab Makkah dibebaskan daripada penguasaan jahiliah.

Maka, pada tahun kelapan Hijrah pada bulan Ramadan, bala tentera Islam yang besar jumlahnya digerakkan kerana sudah ramai yang memeluk Islam semasa tempoh Perdamaian Hudaibiyyah. Sehinggakan, bala tentera Islam berjumlah 10,000 orang anggota (jumlah yang sangat besar pada zaman itu), berlipat kali ganda daripada jumlah ketika Perjanjian Hudaibiyyah termeterai.

Di sini menunjukkan perdamaian memberikan kesan positif yang sangat besar dari segi dakwah dan politik yang tidak berpisah dalam Islam. Islam mewajibkan tindakan berdamai dan wajib juga membela rakan yang diceroboh. Firman Allah SWT:

﴿… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Maka, umrah yang sedang diamalkan permulaan rukunnya iaitu niat dan berpakaian ihram ditangguhkan, kerana maslahat umat dan agama yang lebih besar itu wajib didahulukan daripada fardu ‘ain yang mesti ditangguhkan mengikut kaedah wajib muwassa‘, apatah lagi jika umrah sunat. Bahkan termasuk ibadat haji yang wajib juga mesti ditangguhkan.

Keputusan menyerang Makkah diambil secara penuh kerahsiaan sehingga mengejutkan musuh yang tidak menduga, malah mereka berusaha untuk kembali semula kepada perdamaian setelah melakukan pencabulan. Abu Sufyan, pemimpin Makkah yang datang ke Madinah gagal memujuk bagi mencapai tujuannya.

Ketibaan tentera Islam yang berlaku pada 20 Ramadan tahun kelapan Hijrah itu mengejutkan penduduk Makkah yang sudah dikepung di segenap penjuru dengan nyalaan api pada waktu malam mengelilingi mereka.

Abu Sufyan, pemimpin Makkah yang keluar mengintip telah ditawan lalu dibawa menghadap Rasulullah SAW. Akhirnya, beliau berjaya dipujuk untuk memeluk Islam dan diberikan keistimewaan apabila tentera Islam berjaya masuk ke Makkah.

Tentera Islam memasuki Makkah melalui segenap penjuru dengan sedikit pertempuran dalam pasukan Khalid bin Al-Walid RA apabila mereka menghadapi tentangan tentera musuh yang dikepalai oleh ‘Ikrimah bin Abi Jahal, namun tentera musuh berjaya dikalahkan.

Rasulullah SAW mengarahkan perintah berkurung kepada penduduk Makkah selama beberapa hari di rumah masing-masing, di Masjid al-Haram, atau di rumah Abu Sufyan RA yang diberikan keistimewaan.

Setelah selesai perintah berkurung, mereka diarahkan untuk berkumpul di halaman Kaabah, lalu Rasulullah SAW menyampaikan ucapannya yang terkenal dengan dialog seperti berikut. Kata Baginda SAW:

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ! مَا تَرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ بِكُمْ؟

“Wahai kaum Quraisy (penduduk Makkah)! Tahukah kamu apa yang aku hendak lakukan kepada kamu semua?”

Mereka menjawab:

خَيْرًا، أَخٌ كَرِيمٌ وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ.

“(Kamu) ialah saudara yang baik, dan keluarga yang baik.”

Baginda pun bersabda:

فَإِنِّي ‌أَقُولُ ‌لَكُمْ ‌كَمَا ‌قَالَ ‌يُوسُفُ لِإِخْوَتِهِ: {لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ}، اذْهَبُوا فَأَنْتُمُ الطُّلَقَاءُ.

“Sesungguhnya, aku ingin mengucapkan kepada kamu semua sebagaimana ucapan Nabi Yusuf AS kepada saudara-saudaranya (yang berlaku zalim terhadapnya), ‘Tiada cercaan (balasan dendam) terhadap kamu pada hari ini.’ Pergilah! Kamu semua telah dibebaskan.” (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zad al-Ma‘ad, jld. 3, ms. 359)

Keputusan yang diambil itu mengejutkan mereka yang pernah menzalimi Rasulullah SAW, menghalaunya sehingga berhijrah, malah sehingga berperang membunuh para sahabat dan keluarga tersayang kerana dianggap salah apabila menganut Islam. Tindakan Rasulullah SAW itu melaksanakan firman Allah SWT:

﴿وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾

“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepada kamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran dan kezaliman) mereka, dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” (Surah al-Nahl: 126–128)

Rasulullah SAW memilih untuk memberikan pengampunan beramai-ramai dan bersabar. Itulah sifat yang ada pada seorang yang paling tinggi tahap ketaqwaannya kepada Allah SWT, walaupun sangat berkuasa dan memiliki kekuatan untuk bertindak. Sangat jauh perbezaannya dengan sejarah pihak bukan Islam yang menang dengan berdendam selepas memenangi peperangan atau revolusi menjatuhkan kerajaan, sehingga memakan korban ribuan dan jutaan nyawa manusia pihak yang kalah.

Ramai pemimpin Makkah mengisytiharkan untuk masuk Islam selepas keislaman Abu Sufyan dan isterinya (Hindun binti ‘Utbah) yang pernah mencencang jasad Hamzah RA, bapa saudara Rasulullah SAW yang gugur syahid dalam Perang Uhud. Pengisytiharan keislaman ini diikuti oleh Suhail bin ‘Amr yang pernah mewakili Makkah dalam Perjanjian Hudaibiyyah dengan sikapnya yang keras, termasuk Hakim bin Hizam dan lain-lain dalam kalangan bangsawan.

Akhirnya, mereka datang secara beramai-ramai termasuk daripada kalangan wanita dan kanak-kanak untuk mengisytiharkan keislaman dan berbaiah.

Di sana, terdapat beberapa orang yang dihalalkan darahnya walaupun sedang bergantung di kelambu Kaabah kerana melakukan jenayah yang sangat berat. Hanya dua orang sahaja yang dibunuh, iaitu ‘Abdullah bin Khatal dan Miqyas bin Subabah. Namun, ‘Ikrimah bin Abi Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Sarah turut mendapat pengampunan.

‘Ikrimah bin Abi Jahal RA berjihad dengan gagah berani sehingga syahid dalam Peperangan Yarmuk menghadapi tentera Rom pada zaman Khalifah ‘Umar RA. ‘Abdullah bin Abi Sarah RA pula menjadi laksamana tentera laut dalam Peperangan Zat al-Sowari menghadapi tentera Rom (perang laut yang terbesar dalam sejarah Islam pada zaman Khalifah ‘Uthman RA).

Sebenarnya, terlalu banyak iktibar daripada peristiwa Fathu Makkah yang mengubah keadaan politik dan menjadikan kerajaan Islam sebagai kuasa besar dunia pada zamannya, apabila berduyun-duyun kabilah Arab yang ganas dan zalim menyerah kalah bersama Islam. Kemudian, mereka menjadi orang yang paling taat kepada Allah SWT dan pahlawan yang gagah berani menegakkan Islam.

Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah SAW:

﴿إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ١ وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا٢ فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا٣﴾

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. (1) Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun. (2) Maka, bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya, Dia adalah Maha Penerima taubat. (3)” (Surah al-Nasr: 1–3)

‘Abdullah bin ‘Abbas RA, salah seorang ulama’ tafsir terbesar dalam kalangan sahabat menegaskan kepada Khalifah ‘Umar RA bahawa surah al-Nasr bukan sahaja menyatakan kemenangan besar, malah ia juga bermakna hampirnya ajal Rasulullah SAW. Demikianlah berita yang menyedihkan setelah gembira Islam disempurnakan dengan pencapaian kemenangan yang besar.

Firman Allah SWT:

﴿… ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ … ٣﴾

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agama kamu (Islam), sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu…” (Surah al-Ma’idah: 3)

Allah SWT memilih peristiwa besar berlaku pada bulan Ramadan berkumpul dengan ibadat jasad dan roh, akal dan harta, serta individu dan masyarakat. Tidak berpisah urusan politik negara, ekonomi, dan masyarakat daripada prinsip dan konsep Islam yang sempurna daripada-Nya.

Maka, apa-apa teori dan kenyataan yang mengeluarkan atau mengasingkan apa-apa urusan dunia dengan Islam adalah bukan daripada ajaran Islam yang sempurna. Allah SWT berfirman:

 ﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 208)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 17 Ramadan 1444 / 8 April 2023